PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengiktiraf Sijil Kelulusan (COA) yang pertama kepada dua pengendali pusat latihan pengendali dron, Approved Training Organisation for Remote Pilot Training Organisation (ATO-RPTO).
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, dua pengendali ATO-RPTO itu ialah UAV Academy of Asia Sdn. Bhd. dan Air Asia Group Berhad sebagai sebahagian daripada komitmen CAAM untuk memberi sokongan berterusan kepada industri dron atau Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS).
Katanya, ia melalui penyediaan asas kukuh bagi membolehkan pengendali-pengendali dron yang berpotensi untuk dilatih dengan kemahiran melalui latihan pengendalian dron yang lebih menyeluruh.
“ATO-RPTO merupakan sebuah pusat latihan pengendali dron yang diiktiraf CAAM dan bertanggungjawab dalam menyediakan laporan mengenai pengetahuan teori serta arahan dan penilaian penerbangan berkaitan kompetensi pengendali dron.
“ATO-RPTO menilai tahap kecekapan pengendali dron berdasarkan keperluan tertentu dan mengeluarkan pensijilan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, UAV Academy of Asia Sdn Bhd dan Air Asia Group Berhad menerima COA RPTO di bawah Peraturan 64 Civil Aviation Regulations 2016 membolehkan mereka untuk mengendalikan peperiksaan atau ujian dan menyediakan kursus latihan atau arahan mengikut spesifikasi latihan yang diluluskan.
“UAV Academy of Asia Sdn. Bhd. bertapak dalam industri dron sejak tiga tahun lalu, manakala syarikat penerbangan tambang rendah multinasional, Air Asia Group Berhad, masing-masing telah memenuhi piawaian, keperluan dan prosedur berkaitan peruntukan sebagai RPTO yang diiktiraf oleh CAAM,” ujarnya. – UTUSAN