KUALA LUMPUR: Seorang ejen pelaburan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak pernah meminta komisen RM3.5 juta daripadanya sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah.
Ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, berkata, perkara berkaitan komisen itu tidak dibincangkan ketika beliau hadir pada pertemuan yang turut disertai oleh Bung Moktar dan beberapa pihak lain di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini pada 4 Mei 2015.
Ujar saksi pendakwaan ke-24, isu berhubung bayaran yuran pengenalan kepada Ahli Parlimen Kinabatangan juga tidak ditimbulkan pada pertemuan tersebut.
Ketika ditanya oleh peguam M.M. Athimulan pada sesi pemeriksaan balas, Madhi menyatakan, pemberian komisen kepada isteri Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette A. Samad sebagai wang pengenalan adalah amalan biasa yang diberikan kepada pencadang (introducer).
Pada sesi pemeriksaan utama 26 November 2021, Madhi memberi keterangan bahawa Bung Moktar tidak meminta komisen RM3.5 juta, sebaliknya beliau sendiri (Madhi) bersetuju wang RM2.2 juta diberikan kepada Zizie sebagai wang pengenalan.
Bagaimanapun, keterangan tersebut bercanggah dengan butiran yang terkandung dalam rakaman percakapannya ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 berkaitan kes rasuah pemimpin politik Sabah itu.
Pada 7 Disember 2021, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas saksi itu yang dianggap sebagai saksi belot (hostile witness) berikutan keterangannya di mahkamah bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat SPRM.
Pada prosiding hari ini, Madhi menyatakan, beliau bersama-sama seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual, Norlaili Ahmad Mokhtar pernah membentangkan kertas cadangan pelaburan unit amanah dalam mesyuarat yang dihadiri oleh ahli lembaga pengarah Felcra.
Ujar saksi, kertas cadangan itu turut mengandungi konsep dan risiko pelaburan yang dihadapi oleh Felcra jika terlibat dalam pelaburan unit amanah.
Menurut ejen pelaburan tersebut, beliau turut menyenaraikan syarikat korporat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan, membuat pelaburan dan sebilangan urusan pelaburan mempunyai pencadang.
Pada pemeriksaan semula, Madhi ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berhubung keterangannya sebelum ini bahawa seorang pegawai SPRM ketika percakapannya dirakam, mencadangkan beliau hadir pada pertemuan dengan Bung Moktar pada 4 Mei 2015.
Namun, saksi berkenaan menyatakan tidak pasti pernah memberitahu demikian kepada mahkamah serta tidak mengingati siapa pegawai SPRM yang dimaksudkan oleh pihak pendakwaan.
Menurut Madhi, dia telah dipanggil beberapa kali oleh pihak SPRM untuk memberikan rakaman percakapan dan terdapat soalan yang tidak dapat dijawab sama ada kerana terlupa, tidak pasti dengan jawapannya atau tidak dapat berfikir dengan betul ketika itu.
“Saya berasa keliru kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan tetapi dipanggil berkali-kali memberi keterangan. Saya juga tertekan sebab terkejut kerana tidak pernah dipanggil oleh mana-mana pihak berkuasa sebelum ini,” ujar saksi.
Pada perbicaraan lalu, Madhi mengaku memberikan versi yang berbeza kerana `ingat-ingat lupa’ selain tertekan ketika sesi soal siasat pada tahun 2016, namun berasa amat lega dan tidak lagi takut ketika memberi percakapan terakhir pada Februari 2021.
Pada akhir prosiding, mahkamah membenarkan bantahan peguam Datuk K. Kumaraendran kerana soalan pihak pendakwaan pada pemeriksaan semula berkisar kepada soalan sama yang telah dijawab oleh saksi tersebut.
Hakim Rozina Ayob kemudian mengarahkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan menyediakan nota keterangan masing-masing dan menangguhkan perbicaraan pada 26 dan 27 Januari ini.
Pihak pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria dan Noor Syafina Mohd. Radzuan manakala peguam Ridha Abdah Subri turut mewakili pihak pembelaan.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norlaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN ONLINE