PETALING JAYA: Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berselaras dalam melakukan keputusan yang jitu.
Presiden Bumitra, Harun KC Ahmu berkata, koordinasi dan kerjasama yang selaras di antara agensi kerajaan perlu dilakukan bagi memperbaiki proses ketibaan dan pemergian jemaah umrah.
Menurut beliau, caj pembayaran yang dikenakan bagi proses kuarintin di hotel sebanyak RM250 hingga RM350 untuk seorang perlu dikurangkan kepada jumlah asal iaitu RM150 sehari.
“Ini adalah usaha dalam meringankan beban tangunggan jemaah umrah kerana kos yang ditetapkan pada masa kini amatlah tinggi berbanding kos yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.
“Kajian semula perlu dilakukan mengenai implikasi yang diterima jemaah dan pengendali umrah kesan daripada pengumuman penangguhan ibadah umrah yang dibuat secara serta-merta,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.
Harun KC berkata, jemaah umrah sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 dan ditambah dengan dos penggalak seperti diwajibkan kerajaan.
“Apa gunanya mereka mengambil dos tersebut jika mereka dihalang untuk menunaikan umrah? Kerajaan hanya perlu memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sahaja tidak perlu hingga menangguhkan seperti ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE