Bukan bergaduh, tetapi angkat kaki kerana dadah - Ari Lasso - Utusan Malaysia

Bukan bergaduh, tetapi angkat kaki kerana dadah – Ari Lasso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Ari Lasso, 49, mendedahkan, keputusannya untuk keluar daripada kumpulan Dewa 19 yang dinaungi bersama Ahmad Dhani bukanlah disebabkan wujudnya sengketa antara kedua-dua mereka.

Sebaliknya, kata Ari, tindakan itu dilakukannya 23 tahun lalu kerana ketika itu, dirinya terjebak dengan najis dadah.

“Ahmad Dhani sebenarnya telah memberikan nasihat dan bercakap baik-baik dengan saya mengenai kondisi yang sedang saya lalui ketika itu. Dia beritahu, kalau saya berterusan begitu (terjebak najis dadah), mungkin susah.

“Jadi, saya buat keputusan untuk baiki diri dulu dan berfikir panjang sama ada mahu meneruskan karier bersama kumpulan Dewa 19 atau bagaimana.

“Tapi saya cakap pada Dhani, yang saya mahu selamatkan tubuh badan saya dulu. Kena jalani proses rehabilitasi dan sebagainya untuk membaik. Memang benar saya bakal ditendang dari kumpulan waktu itu, tetapi saya pilih untuk angkat kaki dulu,”katanya.

Ari berkata demikian dalam satu sesi perkongsian yang dipaparkan di platform Youtube milik Daniel Mananta baru-baru ini.

Menurut Ari, selepas membuat keputusan untuk mundur daripada kumpulan popular tersebut, dia membawa diri pulang ke Surabaya untuk menjalani rehabilitasi demi memulihkan ketagihan dadah.

Selain itu, katanya, sewaktu sedang menjalani pemulihan, dia juga telah bernikah dengan wanita pilihannya.

Untuk rekod, Ari selepas keluar daripada kumpulan Dewa 19 kemudiannya membuat kemunculan secara solo dengan penghasilan album sulung berjudul Sendiri Dulu pada tahun 2001.

Antara album yang pernah dihasilkan bersama kumpulan Dewa 19 sebelum itu ialah Dewa 19 (1992), Format Masa Depan (1994), Terbaik (1995) dan Pandawa Lima (1997).

Selain Sendiri Dulu, Ari menerusi kerjaya seni solonya terus meraih perhatian ramai menerusi penghasilan album berjudul Keseimbangan (2003), Kulihat Kudengar dan Kurasakan (2004), Selalu Ada (2006), The Best of (2007) dan Yang Terbaik (2012).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN