TAWAU: Tiga beradik dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam yang berlaku di perairan Kampung Batu Payung, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, bot yang dinaiki tiga mangsa bersama enam individu lain karam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Julius John Stephen Jr. berkata, pihaknya menerima laporkan mengenai insiden bot karam itu pada pukul 4.45 petang dan sepasukan anggota pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati sembilan mangsa terlibat dalam insiden bot karam yang berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang dari Batu 4 Kampung Rawa-Rawa ke Kampung Batu Payung.
“Walau bagaimanapun, enam daripada mangsa berjaya di selamatkan oleh orang kampung.
“Tiga remaja yang merupakan adik-beradik yang berusia 12 hingga 14 tahun masih belum ditemukan. Ketiga-tiga mangsa itu ialah Saiful, Adam dan Saina Muhaimin,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pasukan bomba bersama 17 bot orang kampung serta sebuah bot Pasukan Polis Marin dan sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Operasi ditangguhkan pada pukul 6.40 petang dan akan disambung semula pada hari ini. -UTUSAN ONLINE