PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Tinggi boleh menyemak semula sebarang hukuman yang diputuskan mahkamah rendah jika berpendapat ia berlebihan atau kurang sesuai daripada undang-undang sedia ada.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, perkara itu dibolehkan di bawah undang-undang sedia ada untuk memanggil semula rekod kes terlibat.
“Memang ada kemungkinan boleh. Terpulang kepada Hakim Mahkamah Tinggi masing-masing jika mendapat tahu daripada laporan akhbar atau mana-mana sumber.
“Jika mereka berpendapat bahawa keputusan itu agak berlebihan atau kurang sesuai daripada undang-undang sedia ada. Maka dibolehkan di bawah undang-undang untuk panggil rekod tersebut untuk buat keputusan berdasarkan kuasanya menyemak keputusan mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Semalam, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap seorang remaja lelaki berusia 19 tahun kerana cuba mencuri tabung masjid.
Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Video remaja itu sebelum kni tular gara-gara dimandikan seperti `jenazah’ oleh pengurusan sebuah masjid.
Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.
Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah di Kilometer 28 Kuang, Rawang pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 511 yang mana hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Isnin lalu, tular sebuah video di laman sosial yang memaparkan seorang remaja yang lengkap berpakaian dimandikan seperti `jenazah’ selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid.
Remaja berkenaan turut dilumur dengan kapur barus oleh sekumpulan pengurusan masjid sambil diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.
Sebilangan warganet menyokong tindakan pengurusan masjid dan penduduk kampung sebagai pengajaran kepada remaja terbabit.
Namun demikian, sebilangan lagi mengecam perbuatan itu kerana mendakwa pihak masjid dan penduduk kampung mengambil tindakan sendiri dengan membelakangi undang-undang. – UTUSAN ONLINE