KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibenar melantik peguam pemerhati (watching brief) pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sindrom down.
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan peguam Mardhiyyah Johari yang mewakili Suhakam agar organisasi itu dibenar bertindak sebagai peguam pemerhati pada perbicaraan yang berlangsung pada 30 Mac ini.
Hakim Izralizam Sanusi ketika membenarkan permohonan itu turut mengingatkan Suhakam meskipun mahkamah tiada masalah peguam pemerhati dilantik, kehadirannya berbeza dengan pihak-pihak yang mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang).
Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Hafizatul Ifa Ab. Razak memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pembelaan namun terdapat beberapa lagi yang belum dapat diserahkan.
Peguam Yalini Munusamy yang mewakili Siti Bainun kemudian mengesahkan perkara berkenaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac ini untuk pengurusan kes selanjutnya sebelum perbicaraan penuh yang dijadualkan didengar selama 15 hari dengan 34 saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan.
Hakim berkenaan turut mengarahkan pihak pendakwaan menyusun kehadiran saksi-saksi yang juga terdiri daripada saksi kanak-kanak sebelum perbicaraan bermula.
Pada 20 Ogos tahun lalu, Siti Bainun, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga mengalami kecederaan.
Mengikut pertuduhan, Siti Bainun sebagai orang yang dipertanggungjawab menjaga kanak-kanak perempuan itu, didakwa telah mengabaikannya hingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun tahun lalu.
Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, pada 25 November tahun lalu, Siti Bainun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menganiaya remaja sama.
Tertuduh sebagai orang yang dipertanggungjawabkan menjaga remaja itu, didakwa telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi pada tempat, tarikh yang sama.
Media sebelum ini melaporkan penahanan pemilik Rumah Bonda susulan pendedahan berhubung penderaan melibatkan seorang remaja yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).
Remaja sindrom down itu melecur di beberapa anggota badan disyaki akibat didera oleh penjaganya di sebuah premis yang dipercayai menjadi pusat jagaan kanak-kanak OKU di Wangsa Maju.