PUTRAJAYA: Pemilik haiwan yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalanan boleh dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak melebihi RM500 bagi setiap ekor.
Demikian peringatan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) susulan banyak aduan diterima daripada masyarakat berkaitan isu berkenaan di Daerah Pekan, Pahang bulan lalu.
Malah agensi tersebut turut menguatkuasakan Enakmen Kawalan Kerbau dan Lembu 2001 di negeri berkenaan bagi pencegahan elemen kacau ganggu dan keselamatan awam.
“Sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah pula, pesalah terbabit akan dihukum denda RM5,000,” jelas JPV menerusi hantaran yang dikongsi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Sharim Md. Zain yang merujuk hasil pertemuan dengan Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah Pekan, Fazila Hasan ekoran aduan penduduk mengenai ternakan yang bebas berkeliaran di situ.
Isu tersebut hangat diperkatakan apatah lagi jika berlaku kemalangan jalan raya terutamanya sepanjang laluan besar akses ke Felda Chini yang dibuka kerajaan pada 1971 lalu yang mempunyai lapan skim penempatan tanah persekutuan di situ dinamakan bersempena Tasik Chini serta terletak di tengah laluan utama menghubungkan antara Kuantan dan Segamat, Johor.
Mengulas lanjut, Sharim turut maklum bahkan mengakui selalu terserempak dengan banyak lembu yang masih meragut rumput di tepi jalan pada waktu malam khususnya ketika ada hujan.
“Tindakan terpaksa diambil JPV kepada masih ada pemilik yang degil dan tidak ikut peraturan ditetapkan waima tidak hirau keselamatan orang ramai dengan biar berkeliaran,” jelas beliau.
Agensi itu jelasnya, boleh menangkap ternakan dijumpai berada dalam kawasan larangan iaitu permukaan jalan, tempat lingkungan 20 meter dari bahu jalan dan kesemua kawasan awam.
Pahang merupakan negeri penternakan lembu terbesar di Malaysia dengan sepanjang tahun lalu dianggarkan terdapat 155,686 ekor daripada sejumlah 701,117 ekor di seluruh negara.