KUANTAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membantu parti itu dan Perikatan Nasional (PN) Johor.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, jentera-jentera Bersatu Pahang akan turun padang bagi bersama-sama membantu dalam usaha memastikan kemenangan dalam PRN Johor itu nanti.
Menurutnya, buat masa ini mereka hanya menunggu arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk turun ke kawasan tumpuan yang dikenal pasti.
“Sebaik sahaja menerima arahan MPT, Badan Pimpinan Bersatu Pahang akan mengadakan bermesyuarat khas mengatur gerak kerja di PRN Johor.
“Kita menjangkakan pilihan raya ini adalah luar biasa dan begitu penting berikutan Pengerusi Bersatu Johor adalah Presiden parti iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
“Dengan itu, kita mesti menunjukkan prestasi yang baik dalam mempertahankan kerusi-kerusi sedia ada sekali gus menambah lagi jumlah kerusi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan Tahun Baharu Cina di Pusat Penjagaan Orang Tua di Bangunan Persatuan Tionghua, Jalan Bukit Ubi, dekat sini hari ini.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada PRN, 22 Januari lalu.
Semalam, Muhyiddin memaklumkan akan memuktamadkan agihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor bersama Pas dan Gerakan dalam tempoh seminggu lagi.