Belum sesuai rapatkan saf di Selangor - MAIS - Utusan Malaysia

Belum sesuai rapatkan saf di Selangor – MAIS

ABDUL Aziz Mohd. Yusof (tengah) bermesra bersama peguam syariah yang menerima tauliah dalam Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie di Bangunan Sultan Idris Shah di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Situasi jangkitan Covid-19 di Selangor ketika ini disifatkan belum sesuai untuk membolehkan saf jemaah di masjid dan surau kembali dirapatkan sepertimana dikuatkuasakan di Johor serta Perlis.

Kadar jangkitan dilaporkan masih tinggi dan dijangka meningkatkan risiko penularan sekiranya kebenaran itu diberikan kepada jemaah di masjid dan surau di negeri ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihak berkuasa agama Islam negeri ini tidak boleh sewenang-wenangnya mengikut jejak langkah seperti dilakukan di Johor dan Perlis yang menghapuskan jarak satu meter dalam saf.

“Selangor pun kurang dari 1,000 kes, tetapi masih lagi tertinggi. Sekarang data dalam laporan media pun sudah lain, ditekankan kepada R Naught, 0.98, 0.95, jadi kita membuat keputusan tentang jarak saf ini sangat berhati-hati,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyampaian sijil kepada 59 peguam syarie dalam Majlis Pentauliahan dan Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor bagi tahun 2020 dan 2021 di Jabatan Kehakiman dan Syarie Selangor (JAKESS), Bangunan Sultan Idris Shah, di sini hari ini.

Bersangkutan majlis tersebut, seramai 89 permohonan diterima untuk mendapatkan pentauliahan sebelum 59 diberi kelulusan menjadikan jumlah peguam syariah di Selangor lebih 500 orang.

Dalam pada itu, Abdul Aziz memaklumkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sangat prihatin terhadap masalah dihadapi rakyat berkaitan dengan wabak pandemik berikutan Selangor sehingga kini masih menduduki tangga tertinggi dari segi jangkitan.

“Oleh kerana itu baginda berhati-hati supaya perkara berkaitan dengan masjid dan surau tidak menjadi faktor utama merebaknya Covid-19. Sekarang bilangan jangkitan dalam 2,000 ke 3,000 secara keseluruhan tidak banyak berubah.

“Pada masa ini pun di Selangor, kapasiti jemaah masjid sudah ditingkatkan cuma jarak masih lagi dikekalkan satu meter. Lama kelamaaan jika pandemik ini berterusan berkurangan terutama Selangor, baginda sangat prihatin tentang rakyat kerana yang selalu mendapat pingat emas adalah negeri ini, bilangan jangkitan dan kematian adalah tertinggi,” jelasnya.

Beliau menambah, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa memberi pandangan dan nasihat kepada Sultan Sharafuddin mengenai perkembangan terkini pandemik dan kesesuaian untuk mengubah peraturan jika kes Covid-19 terus menurun.

Untuk rekod, Selangor hari ini mencatatkan R Nought 0.99 dengan jumlah jangkitan sebanyak 935 kes direkodkan semalam dan angka tersebut meningkat berbanding kelmarin, 662 kes.

Berbanding Johor dan Perlis, masing-masing hari ini mencatatkan R Nought pada kadar 0.98 dan 0.91 dengan jangkitan baharu sebanyak 401 dan 13 kes. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya