Belum masa Zii Jia keluar BAM - Utusan Malaysia

Belum masa Zii Jia keluar BAM

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek berpandangan bahawa belum tiba masa untuk pemain perseorangan No.1 lelaki negara, Lee Zii Jia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tambahnya, pemain berusia 24 tahun itu masih memerlukan bimbingan BAM kerana ia adalah tempat terbaik untuk dia mengejar impiannya bagi bergelar jaguh dunia.

Misbun juga menjelaskan, adalah satu kerugian besar jika Zii Jia kekal dengan pendirian untuk bergerak secara profesional dan menerima keputusan BAM yang tidak akan mendaftarkannya menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

“Di sini (BAM) semua ada, tidak perlu lagi fikir apa-apa jadi sekarang ini terpulang kepada dia. Apa yang dimahukan sebenarnya.

“Zii Jia perlu berada di BAM kerana dia masih muda dan masih memerlukan bimbingan supaya dapat capai ke tahap lebih tinggi,” katanya.

MISBUN Sidek

Misbun yang pernah membimbing Zii Jia sebelum ini, menyifatkan tempoh dua tahun tanpa sebarang kejohanan bukanlah sesuatu yang singkat dan sukar untuk pemain itu kembali mendapatkan prestasinya seperti sekarang.

Pengarah Pembangunan Remaja BAM itu, turut memberikan contoh seperti bintang Jepun, Kento Momota yang bergelut untuk kembali kepada prestasi sebenar selepas digantung selama setahun pada April 2016 oleh Persatuan Badminton Nippon kerana kesalahan berjudi di kasino haram.

“Dia (Momota) kena bermula dari bawah, begitu juga Zii Jia. Soalnya sekarang siapa yang hendak bantu dia ketika itu (dua tahun lagi)? Jika dia ada duit sekali pun, siapa yang hendak bantu dan ‘pegang’ dia,” ujarnya.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan juara Seluruh England 2021 itu menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuat kuasa 31 Oktober 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya