SHAH ALAM: Padah terima suapan daripada lima mahasiswa bagi menukar keputusan gagal kepada lulus, bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh dikenakan hukuman sedemikan selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM1,300, pada tahun lalu.
Hakim Rozilah Salleh mengarahkan tertuduh, A. Arvind, 30, menjalani hukuman penjara satu bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda terbabit.
Terdahulu, mahkamah terpaksa ditangguhkan seketika apabila tertuduh kelihatan gelisah sehingga dia terus mengaku bersalah ketika pertuduhan utama pertama dibacakan.
Rozilah yang mencelah kemudian menerangkan kepada tertuduh bahawa dia mempunyai pertuduhan pilihan di mana hukuman adalah lebih ringan berbanding pertuduhan utama.
Berdasarkan lima pertuduhan utama, tertuduh yang bertugas sebagai Digital Artist di Camou Studio & Academy Sdn. Bhd. didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,300 secara perbankan dalam talian ke atas akaun CIMB miliknya daripada lima individu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Cawangan Cyberjaya antara 17 Januari 2021 sehingga 16 Februari 2021.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16a(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Bagi lima pertuduhan pilihan, anak sulung daripada dua beradik yang mempunyai pendapatan bulanan RM3,500 itu didakwa diberikan rasuah berjumlah RM1,300 oleh lima individu dan gagal melaporkannya kepada pihak SPRM atau pihak polis.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu didakwa sebagai sebagai dorongan untuk mengubah keputusan subjek Animation 2-Rigging lima individu terbabit daripada gagal kepada lulus.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Cawangan Cyberjaya antara 17 Januari 2021 sehingga 16 Februari 2021.
Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Arvind memohon maaf kerana rasa gelisah kerana ia merupakan kali pertama dia datang dan dituduh di mahkamah.
Katanya, dia hanya berniat untuk menolong para pelajarnya dan tidak dapat menanggung rasa bersalah atas perbuatannya itu.
“Sudah tujuh bulan saya tidak mempunyai pekerjaan dan saya tidak ada wang untuk menanggung keluarga. Sampai sekarang saya berusaha mencari pekerjaan, saya takut tidak dapat menampung kehidupan dan saya betul-betul rasa bersalah serta berharap dapat diberikan peluang dan bersumpah tidak buat kesalahan lagi,” katanya sebak.
Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Noryusriza Zulkifli bagaimanapun memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan individu dalam menjatuhkan hukuman.
“Berleluasanya kesalahan rasuah lebih-lebih lagi dengan kapasiti tertuduh sebagai pensyarah yang sepatutnya mendidik dengan nilai murni,” katanya.