KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi MARA Incorporated Sdn. Bhd., Datuk Mohammad Lan Allani hari ini dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram RM10 juta.
Hakim Suzana Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai. Pada prosiding hari ini, tertuduh diwakili peguam bela, Datuk K. Kumaraendran.
Terdahulu, pendakwa raya tersebut mengemukakan permohonan itu atas alasan Mohammad Lan akan dituduh semula di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Februari atau Mac ini.
Difahamkan, tertuduh akan didakwa semula di Kota Kinabalu, Sabah ekoran kejadian tersebut berlaku di negeri bawah bayu itu.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Lan didakwa atas dua tuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram pada 10 Disember 2012 di CIMB Bank, Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, Sabah.
Pemindahan dibuat daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank miliknya ke dalam akaun semasa dan tetap CIMB yang juga miliknya dalam dua transaksi.
Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mengurangkan jumlah jaminan Mohammad Lan daripada RM400,000 kepada RM300,000. Bagaimanapun, syarat-syarat tambahan lain seperti perlu melapor diri kepada pihak berkuasa sebulan sekali masih lagi berkuat kuasa.
Sementara itu, bagi 20 lagi pertuduhan membabitkan rasuah, Allan memberitahu mahkamah pihaknya memerlukan lebih masa untuk mengemaskini senarai saksi.
“Disebabkan terdapat kes yang telah DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) maka jumlah saksi yang akan memberi keterangan akan berkurangan. Kami perlukan masa untuk menyenaraikan semula saksi yang akan memberi keterangan,”katanya.
Suzana membenarkan permohonan tersebut dan kemudian melapangkan tarikh perbicaraan yang sepatutnya bermula 24 Januari ini. Perbicaraan akan bermula 23 Mei ini.
Bagi pertuduhan rasuah, Mohammad Lan didakwa menerima rasuah iaitu wang berjumlah RM7.45 juta daripada Pengarah Syarikat Optimus Capital Sdn Bhd, Mazrul Haizad Marof melalui cek Malayan Banking Berhad (Maybank) yang dibayar ke dalam akaun CIMB Investment Bank Berhad di mana dia mempunyai kepentingan.
Ia sebagai upah membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk “Proposed Acquisition of a Student Accomodation Building and a Commercial Retails Block known as Dudley International House, 7-14 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia”.
Mohammad Lan juga didakwa atas tiga tuduhan cuba memperoleh dan memperoleh daripada pemilik Syarikat Marinn Property Pte Ltd dan Carlton Gardens Pte Ltd, Datuk Ding Pei Chai iaitu suapan untuk diri sendiri berjumlah keseluruhan RM3 juta sebagai dorongan mempercepatkan pembayaran baki pertama sebanyak 10 peratus dan baki kedua 30 peratus daripada jumlah nilai pembelian saham kedua-dua syarikat di antara Pei Chai dan MARA Inc.
Tertuduh juga menghadapi tiga lagi tuduhan bersetuju menerima dan menerima suapan wang berjumlah keseluruhan RM10 juta daripada Mazrul Haizad sebagai upah membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk “Proposed Acquisition of Commercial Building Comprises 281 Units of Student Accommodation known as, 746, Swanston Street, Carlton, Vic 3053 Australia”.