SUNGAI PETANI: Seorang bekas pembantu penguat kuasa dari sebuah agensi kerajaan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan penyata akaun bank syarikat yang mengandungi butiran palsu beberapa tahun lalu.
Menurut sumber, perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Mohamad Farid Lateef selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Sumber berkata, suspek lelaki berusia 35 tahun tersebut ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.30 pagi semalam
Katanya, suspek dipercayai menerima rasuah kira-kira RM20,000 setiap bulan untuk tempoh selama 20 bulan sejak Julai 2019 sebagai dorongan untuk dia memainkan peranan bagi meluluskan tender kontrak sebuah syarikat pembersihan di Kedah yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta.
“SPRM kini sedang mendapatkan dokumen berkaitan, selain merakam pernyataan beberapa saksi dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan pada masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Pada 11 Januari lalu, seramai 21 individu ditahan SPRM manakala seorang lagi ditahan reman pada 16 Januari lalu bagi membantu siasatan kes yang sama. – UTUSAN ONLINE