Bekas murid tranformasi kantin kepada konsep kafetaria - Utusan Malaysia

Bekas murid tranformasi kantin kepada konsep kafetaria

TRANFORMASI kantin kepada konsep kafetaria oleh operator kantin Ana Bintong D'Cafe di SK Bintong, Kangar, Perlis.- UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Keazaman seorang bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong di sini menabur bakti di sekolah lamanya, menyebabkan dia tidak kisah berhabisan puluhan ribu ringgit bagi mentranformasikan kantin sekolah menjadi konsep kafetaria.

Konsep yang diketengahkan Analiza Ahmad, 43, itu cukup unik dan menarik sekali gus bakal memberi keselesaan dan keterujaan kepada murid-murid dan guru sekolah berkenaan menjamu selera.

Menurut operator kantin Ana Bintong D’Cafe itu, dia membelanjakan kira-kira RM27,000 bagi mencantikkan serta menceriakan kantin sekolah dan kawasan sekitarnya.

Jelasnya, jumlah tersebut termasuk kos mengecat semula bahagian luar dan dalam kantin, lukisan mural, kertas dinding serta lain-lain dekorasi.

AZLAN Man (tiga dari kanan) berbual bersama operator kantin dan guru-guru selepas meninjau kantin Sekolah Kebangsaan Bintong yang ditranformasikan menjadi konsep kafetaria. – UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR

“Saya yang baru sahaja mendapat tender mengusahakan kantin di sini buat kali pertama bertungkus-lumus untuk mengubah landskap kawasan kantin ini dalam tempoh tiga minggu sebelum sekolah dibuka baru-baru ini.

“Sebaik sahaja sekolah dibuka, saya dapat lihat murid sekolah dan guru-guru kelihatan begitu teruja melihat perubahan landskap kantin sekolah mereka,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut di sini semalam.

Tambah Analiza, tujuannya mengubah konsep kantin kepada kafeteria yang lebih selesa adalah untuk kegunaan murid-murid selain menaikkan nama sekolah lamanya yang terletak di pinggir bandar Kangar itu.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Bintong, Sarimah Mohd. Zainul berkata, usaha dilakukan pengusaha kantin tersebut adalah sebagai nilai tambah kepada sekolah itu sendiri.

Katanya, seramai 268 murid di sekolah itu dan mereka masih mengikut prosedur operasi standard (SOP) di mana hanya boleh membeli sarapan pagi dan ketika waktu rehat sahaja mengikut peraturan digariskan.

“Keceriaan dan wajah baharu kantin sekolah ini mencetuskan keinginan murid-murid untuk datang ke sekolah serta memberi keselesaan kepada anak-anak kecil semasa menunggu ibu bapa menjemput mereka di satu sudut seperti taman di pekarangan kantin,” katanya.

Dalam pada itu, keceriaan kantin sekolah itu turut menarik perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang meluangkan masa meninjau dan menjamu selera di ruangan makan berhawa dingin di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya