SIK: Seorang bayi berusia enam bulan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen untuk meneruskan hidup kerana mengalami masalah saluran pernafasan sempit dihadapinya sejak dilahirkan.
Bayi tersebut, Putra Muhammad Ashraf Muhamad Faizal turut menggunakan tiub khas untuk menyusu.
Bapanya, Muhamad Faizal berkata, pada masa ini, bayinya itu terpaksa ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar sejak dilahirkan kerana tidak mampu membeli mesin oksigen, Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) dan mesin sedut kahak.
Menurutnya, ketika ini, dia yang bekerja sebagai mekanik manakala isterinya, Nur Hidayah Ahmad, 32, yang hanya suri rumah tidak mampu membeli mesin berharga RM25,000.
“Selagi tidak mempunyai mesin CPAP di rumah, selagi itulah anak saya terpaksa tinggal di wad kerana bergantung kepada mesin tersebut 24 jam.
“Isteri saya juga terpaksa menemani anak kedua itu di hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Aris, Mukim Jeneri di sini.
Muhamad Faizal memberitahu, Putra Muhammad Ashraf merupakan anak kedua dan anak pertamanya, Putri Nur Diana Aisyah Muhamad Faizal, 5.
Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal, berkata, CSM akan membantu mendapatkan mesin oksigen untuk memastikan Putra Muhammad Ashraf dilengkapi kemudahan tersebut.
“Selama enam bulan tiada siapa membantu bayi ini dan kami diminta membantu bagi membolehkan Putra dan ibunya pulang ke rumah dengan segera.
“Sehubungan itu, CSM melancarkan Projek Wakaf Tabung Baby Putra untuk mendapatkan bantuan kewangan dan sehingga kini mengumpul RM11.660 dan masih perlukan sebanyak RM13,340.00 untuk membeli mesin tersebut,” kata Zuraini.
Katanya, pihaknya telah membuat tempahan mesin tersebut dan kutipan dana hanya melalui akaun Cancer Survivors Malaysia (CSM) dengan nombor akaun 552068522859 (Maybank).