KLANG: Ketibaan perayaan Tahun Baharu Cina membuatkan seorang peniaga baulu ikan koi tidak menang tangan apabila menerima tempahan mencecah 500 biji sehari daripada pelanggan.
Pujiah Bahran, 62, berkata, idea menghasilkan baulu jenis tersebut diperoleh daripada penduduk Pulau Ketam di sini kira-kira 10 tahun lalu.
Katanya, masyarakat Cina khususnya mempercayai ikan berkenaan sebagai simbolik rezeki yang melimpah.
“Permintaan bukan sahaja daripada masyarakat Cina tetapi juga pelanggan Melayu di seluruh Selangor yang membelinya sebagai saguhati atau hadiah kepada kaum Tionghoa.
“Penghasilannya adalah dengan menggunakan ketuhar dan bersyukur mendapat maklum balas positif dari segi tekstur dan rasanya daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Yadi, Kampung Sungai Udang di sini.
Kata Pujiah, segala pembuatan baulu berkenaan dibantu anaknya, Muhd. Fidaiy Ahmad Kurtubi, 35, dengan jualan kuih itu adalah mengikut set.
Tambah bekas pengusaha kantin itu, bagi set dua biji baulu ikan koi kecil dijual dengan harga RM3 manakala set hadiah yang mengandungi masing-masing dua biji bahulu kecil dan enam biji baulu besar ikan koi adalah pada harga RM65.
“Secara purata, 500 biji baulu ikan koi dihasilkan setiap hari dan saya menjualnya secara tempahan,” jelasnya.