Bantuan segera mangsa ribut di Perak ganti atap rumah - Utusan Malaysia

Bantuan segera mangsa ribut di Perak ganti atap rumah

SAARANI Mohamad (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Klebang, Ipo, Perak, hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri mengumumkan bantuan segera sebanyak RM300 kepada setiap penduduk yang terjejas ribut semalam khususnya untuk menggantikan atap yang rosak atau diterbangkan angin.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan ihsan itu diserahkan kepada penduduk terlibat hari ini.

Menurutnya, bantuan itu boleh digunakan untuk membeli kepingan zink agar kerja-kerja menggantikan atap rumah yang rosak dapat dilakukan segera.

“Tindakan segera ketika ini adalah untuk memperbaiki bumbung rumah yang rosak atau yang diterbangkan angin kerana dibimbangi jika hujan, air hujan mendatangkan kerosakan yang lebih teruk di dalam rumah.

“Hari ini kerajaan negeri berikan dahulu wang ihsan sebanyak RM300 kepada setiap rumah yang terlibat melibatkan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM65,000 yang akan dibayar melalui Pejabat Daerah petang ini,” katanya kepada pemberita ketika melawat kawasan yang dilanda ribut di Klebang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid.

Menurut Saarani,  kerajaan negeri telah mengenal pasti kontraktor yang akan dilantik untuk membaiki kerosakan atap rumah dengan segera memandangkan esok dan Rabu merupakan cuti umum Tahun Baharu Cina. 

“Memandang cuti umum esok dan lusa, kedai hardware tutup, penduduk yang menerima wang ihsan boleh membeli zink hari ini sebelum kedai tutup, yang lain-lain (kerja memasang atap) kita usahakan,” katanya.

Saarani berkata, secara keseluruhan sebanyak 219 buah rumah terjejas akibat ribut semalam iaitu 30 rumah di Desa Seri Chepor,  49 rumah di Kampung Tawas dan Kampung Tasek Damai, 30 rumah di Klebang dan 110 buah di Taman Desa Impian.

Sementara itu, Mastura berkata, penduduk terjejas ribut juga akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan melalui  Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menurutnya, pihaknya menunggu senarai penduduk yang terjejas ribut daripada Pejabat Daerah.

“Bila bantuan RM1,000 ini dapat disalurkan, ia bergantung kepada kecepatan Pejabat Daerah menyediakan senarai penduduk yang terjejas ribut ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya