PETALING JAYA: Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) memenuhi keperluan kewangan mangsa-mangsa banjir hingga tidak perlu melakukan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail berkata, bantuan yang diberikan mencerminkan usaha kerajaan mengimbangi antara keperluan mendesak semasa serta tanggungjawab memelihara masa depan rakyat dan negara.
Menurut beliau, KWSP sepatutnya menjadi wadah untuk pencarum menyimpan wang demi menjamin masa depan lebih baik dan sebelum ini pengeluaran wang menerusi beberapa program semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Sebelum ini pengeluaran KWSP dibuat oleh masyarakat mencapai RM 71,000 dan jumlah pengeluaran keseluruhan adalah sebanyak RM101 billion sepanjang tempoh PKP. Ini adalah satu angka yang besar untuk tempoh masa pendek.
“Kerajaan kini sedaya upaya menyediakan bantuan secukupnya kepada mangsa banjir melalui pelbagai insentif disediakan oleh ‘Keluarga Malaysia’ seperti pemberian tunai keseluruhannya mencecah RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR),” katanya di dalam kenyataan.
Terdahulu, akhbar melaporkan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Ahmad Dasuki memohon Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob mendengar rintihan rakyat dan bukannya nasihat daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Namun, Ismail Sabri memperjelaskan kebimbanganya terhadao risiko simpanan KWSP rakyat pada masa depan terkesan jika membenarkan lebih banyak pengeluaran dilakukan walaupun untuk mangsa banjir.
Rizam Ismail berharap isu pengeluaran wang KWSP tidak lagi dibangkitkan kerana kerajaan sedaya upaya membantu mangsa banjir yang terkesan akibat bencana banjir sebelum ini.
“Pihak Kerajaan juga mempunyai inisiatif BKM iaitu bantuan sebanyak RM1,000 untuk isi rumah dibawah RM2,500 dan boleh mencecah RM3,000 untuk isi rumah yang mempunyai 3 anak atau lebih.
“Individu bujang yang mempunyai pendapatan kurang dari RM2,500 juga bakal menerima RM350 daripada BKM,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE