Bantuan banjir: Elak penyimpan KWSP pinjam dari masa depan sendiri - Utusan Malaysia

Bantuan banjir: Elak penyimpan KWSP pinjam dari masa depan sendiri

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia  berhubung bantuan banjir Keluarga Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bantuan banjir Keluarga Malaysia menunjukkan kerajaan berusaha mengelakkan mangsa banjir yang masih mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada terus meminjam dari masa depan sendiri. 

Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan berkata, bantuan banjir Keluarga Malaysia yang disenaraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jelas memberi alternatif kepada cadangan lain mahupun usaha-usaha yang telah diumumkan. 

Beliau berkata, sebelum ini timbul kekhuatiran bahawa antara tawaran yang telah diumumkan lebih awal dikatakan akan menambah hutang mangsa banjir menerusi pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) walaupun pada kadar kosong peratus faedah dan moratorium automatik. 

Katanya, ternyata pandangan itu telah diambil kira dan kali ini sebagai tambahan, kerajaan tampil dengan bantuan-bantuan berbentuk suntikan perbelanjaan dari kerajaan dan bukannya simpanan pencarum sendiri. 

“Jumlah bantuan tunai dan baucar tunai kepada mangsa banjir juga mencecah RM10,000, malah amaun lebih besar daripada itu jika malangnya ada kerosakan kediaman yang serius atau kemusnahan kediaman. 

“Ini menjadikan jumlah bantuan langsung dari kerajaan kepada sesebuah isi rumah yang terkesan boleh bernilai sehingga sebanyak RM61,000. 

“Ia sekali gus mengelak mangsa banjir yang masih mempunyai simpanan KWSP perlu terus meminjam dari masa depan sendiri dan terlepas peluang pendapatan dividen tahunan KWSP tersebut. 

“Maka, dengan pengumuman malam ini, kerajaan dilihat sedang berusaha mengimbangi antara keperluan mendesak semasa dan tanggungjawab sesebuah kerajaan memelihara masa depan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

SHAHRIL SUFIAN HAMDAN

Tambah Shahril Sufian, bantuan yang diumumkan itu juga mampu meliputi semua mangsa banjir. 

“Ini termasuk mereka yang bukan pencarum KWSP atau yang telah mengeluarkan caruman melalui tiga skim sebelum ini (iLestari, iSinar, iCitra) sehingga sebanyak RM19,500 seorang,” ujarnya.

Jelas beliau, malah apa menarik ialah segala perancangan yang ditekankan semula oleh Perdana Menteri berkenaan keutamaan tahun 2022 sebagai tahun merancakkan kembali ekonomi makro dan ekonomi rakyat. 

Katanya, membina atas beberapa tanda-tanda positif mutakhir itu seperti peningkatan pelaburan asing (FDI), pengurangan pengangguran, kenaikan nilai jualan borong dan runcit.

“Semoga segala perencanaan yang mengambilkira segenap suara dan sudut dapat dilaksanakan secepatnya serta sebaiknya, bagi memberi sinar baru kepada rakyat dan negara. 

“Mudah-mudahan, penularan varian Omicron juga dapat diurus supaya merealisasikan harapan kebangkitan ekonomi dunia dan khususnya negara Malaysia pada tahun 2022,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, pihaknya juga tidak menafikan timbul keresahan akibat angka-angka penularan dan keboleh jangkitan tinggi yang disaksikan di negara lain sehingga melepasi rekod-rekod sebelum ini. 

“Misalnya, Amerika Syarikat (589 ribu kes harian baru), Perancis (206 ribu) dan United Kingdom (188 ribu). 

“Namun, kita juga wajar mengambil maklum petanda awal dari negara lain turut menggambarkan bahawa varian ini mungkin tidak ‘seganas’ varian lain, dengan kadar kemasukan hospital dan kematian lebih rendah daripada sebelumnya. 

“Sama-sama kita berdoa bahawa buat negara kita, cabaran ini serta ujian lain dapat terus dikendali dan didepani bersama dengan sebaiknya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya