Bantu generasi muda miliki rumah, inisiatif biayai perumahan diperkenal

Bantu generasi muda miliki kediaman, inisiatif pembiayaan perumahan diperkenal

REEZAL Merican Naina Merican (tengah) bergambar bersama warga kementerian pada Majlis Amanat KPKT Tahun 2022 dan Pelancaran Rangka Kerja Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (RKPBT) di Putrajaya, hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah model baharu dalam pembiayaan perumahan akan diperkenalkan iaitu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (iPPM)  bagi membolehkan lebih ramai rakyat berupaya dan mendapat akses kepada pembiayaan perumahan.

Menterinya Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, atas dasar itu, Jawatankuasa Khas Panel Berkepakaran ditubuhkan dengan memulakan kempen Miliki Kediaman Di Usia Muda.

“Halangan untuk generasi muda pada ketika ini adalah soal deposit, jadi kita mahu mengatasi perkara ini dari akar serta akan perkenalkan iPPM sebagai salah satu produk pembiayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baru 2022 dan Pelancaran Rangka Kerja Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di sini hari ini.

Reezal Merican berkata, memastikan penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti antara satu daripada enam fokus di bawah Malaysia Berdaya Huni 2022 menjadi keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Beliau berkata, berdasarkan teras utama itu, pelaksanaan Program Pemilikan Rumah (HOPE) KPKT digerakkan bagi melihat ekosistem perumahan secara menyeluruh termasuk penyediaan dan pembiayaan perumahan.

“Sebab itu, kita ada misi yang perlu dilunaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik. Jumlah ini bukan kecil dan kita perlu ada strategi untuk memastikan ia dicapai. 

“Justeru dalam soal penyediaan perumahan, saya mahu Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) yang dipengerusikan Perdana Menteri diaktifkan semula dan beliau telah pun bersetuju untuk kita adakan mesyuarat pertama pada 31 Januari ini,” katanya. 

Reezal Merican berkata, beliau menyedari beberapa projek yang dikategorikan sebagai sakit dan lewat, malah laman Facebook beliau sentiasa dihujani dengan keluh kesah rakyat berkenaan projek kementerian sendiri. 

“Semua ini dalam radar saya. Tindakan-tindakan sedang diambil dan kita juga komited dalam memastikan projek-projek di halaman KPKT ini disampaikan sebaiknya kepada rakyat,” tegasnya. 

Mengulas lanjut, katanya, KPKT akan melancarkan Sistem Pengurusan Perumahan Bersepadu (HIMS) sebagai satu data ‘gateway’ dalam soal perumahan selain merupakan satu dripada aplikasi teknologi Big Data Analytics untuk melihat stok rumah, bentuk permintaan, demografik pembeli dan sebagainya.

Tambah beliau, KPKT juga sedang merangka penubuhan Majlis Bandar Pintar Negara bagi melihat aspek dan amalan terbaik yang dapat membawa perbandaran ke tahap yang lebih baik. 

Menerusi agenda Malaysia Berdaya Huni 2022, lima lagi fokus tersebut ialah mengarus perdana pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan PBT, memperkasa pembangunan komuniti bandar, mempertingkat kesiapsiagaan kebombaan dan penyelamatan, mengutamakan kemampanan bandar, pembangunan dan daya tahan Bandar Hijau dan mentransformasi pengurusan sisa pepejal ke arah pembangunan ekonomi kitaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya