Banjir: Khalid, kenapa tak bagi banglo, penthouse? - Bung Moktar - Utusan Malaysia

Banjir: Khalid, kenapa tak bagi banglo, penthouse? – Bung Moktar

KERATAN laporan Utusan Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad disindir oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung isu poligaminya ketika berbahas dalam mesyuarat khas penggal keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Ketika itu, Khalid sedang menjelaskan bahawa beliau sememangnya berada di Shah Alam ketika banjir melanda Selangor pada 18 Disember lalu, sekali gus menyangkal dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Shah Alam dilanda banjir pada 18 Disember dan pada hari itu saya telah uruskan masalah seorang ayah yang kehilangan sembilan ahli keluarganya dalam kemalangan jalan raya, itu semua orang baca.

“Saya nak uruskan jenazahnya, penempatan keluarga datang dari Melaka, nak ziarah dan sebagainya, terperangkap dengan banjir, nak balik pun tak boleh, hotel semua penuh,” katanya.

Namun, Bung Moktar bangkit mencelah: “Sebab itukah Shah Alam tidak berada di kawasan banjirlah, sebab mengurus hal lain?

“Itu di Shah Alamlah,” balas Khalid. “Kamu faham tak, itu berlaku di Shah Alam, kemalangan pasal hujan lebat nak banjir, sembilan ahli keluarga meninggal. Don’t make fun of this, Kinabatangan, ini bukan jenaka,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau bergegas ke gedung sukan, Decathlon untuk membeli kayak.

“Saya masih di Shah Alam. Esok harinya 19 Disember, waktu pagi saya ke Decathlon. Saya nak beli tiga biji kayak, tapi dia benarkan saya pakai dulu.

“Dia kata kamu pakai dulu sebab tengah banjir, kalau lepas banjir dah tak nak…pulangkan, sebab dia anggap pinjam, saya ucap terima kasih, inilah sikap begitu bersungguh-sungguh mahu membantu,” katanya.

Namun, Bung Moktar menyindir Khalid: “Bagilah banglo ke, penthouse ke…kan bagus. Kamu bukan ada di kawasan pun.”

Khalid kemudian menjelaskan bahawa pusat operasi banjir Shah Alam membuka empat dapur rakyat bagi membekalkan hampir 3,000 makanan sehari seminggu.

Namun, Bung Moktar sekali lagi menyindir Khalid: “Bagilah banglo…kalau banglo boleh bagi, apa pula makanan,” katanya.

Khalid kemudian kelihatan berang, apabila beliau mula meninggikan suara.

“Saya cabar Kinabatangan dan Perdana Menteri, ulangi tuduhan bahawa saya hilang dari radar Shah Alam pada hari banjir, ulangi di luar. Tak perlu tunjuk hero dalam dewan,” katanya.

Bung Moktar sekali lagi mencelah: “Tapi radar menyatakan Shah Alam memang hilang,” katanya.

Khalid membalas: “Buatlah sidang media di luar, jangan berselindung di sebalik Dewan, imuniti dewan, jangan jadi pengecut,” katanya.

Ketika Khalid dan Bung Moktar  ingin teruskan perbalahan, mikrofon kedua-dua ahli Parlimen tersebut ditutup oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, namun beliau mengucapkan terima kasih.

“Terima kasih Yang Berhormat kerana membawa kita keluar dari kebosanan petang hari,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya