Banjir di Sabah, dua nyawa terkorban - Utusan Malaysia

Banjir di Sabah, dua nyawa terkorban

KEADAAN banjir di Beluran, dekat Sandakan yang mengakibatkan dua nyawa terkorban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELURAN: Cubaan berani seorang warga emas meredah arus sungai yang deras untuk pulang ke rumah membawa padah, apabila dia dihanyutkan dan ditemukan lemas di Sungai Liningkung, Telupid semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai petani difahamkan cuba pulang ke rumahnya namun, dihanyutkan arus deras.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kasim Muda berkata, itu adalah korban kedua akibat banjir dan hujan lebat yang dilaporkan di daerah berkenaan.

“Lelaki berusia 60 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung pada pukul 2 petang, tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia semasa berada di Klinik Kesihatan Telupid dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kasim berkata, setakat ini tiga laporan mengenai mangsa lemas dan orang hilang telah diterima sejak Jumaat lalu.

Pada Jumaat, seorang mangsa iaitu Rajis Nawang, 28, dilaporkan hilang ketika keluar memukat di Kuala Penubukan, Paitan.

Walau bagaimanapun, mayat mangsa berjaya ditemukan kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Sabtu lalu di kawasan pokok bakau, iaitu pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Sementara itu, seorang pekerja ladang yang dikenali sebagai Kaerul, 26, dilaporkan dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jalan Kampung Kinadaan yang dinaiki air.

Kasim berkata, semasa kejadian paras air dipercayai setinggi 1.5 meter dan kehilangan mangsa dilaporkan oleh majikannya.

Jelas beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula dijalankan pada Jumaat dan setakat ini, mangsa belum ditemukan.

Operasi SAR itu membabitkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya