KEMAMAN: Selepas sehari anak penyu agar ditemukan mati di Pantai Kijal, seekor lagi reptilia marin itu dijumpai di lokasi sama, hari ini.
Situasi itu meresahkan pemajak telur penyu, Roslan Muhammad, 54, kerana berturut-turut menjumpai bangkai penyu sejak semalam.
Katanya, bangkai penyu dewasa yang dianggarkan berusia antara 25 hingga 30 tahun itu dijumpai ketika memungut telur kira-kira pukul 8.15 pagi ini.
“Bangkai penyu itu terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi anak penyu yang ditemukan semalam. Berdasarkan kesan merah pada dada penyu, saya tidak menolak kemungkinan ia lemas terperangkap dalam pukat,” katanya hari ini.
Roslan berkata, bangkai penyu itu masih dalam keadaan sempurna tanpa sebarang bau dipercayai mati kurang 48 jam lalu.
Katanya, sepanjang memungut telur, ini kali pertama bangkai penyu ditemukan dengan lidah terjelir. – UTUSAN ONLINE