Bahasa asing dijulang, bahasa Melayu ditinggal-tinggal? - Utusan Malaysia

Bahasa asing dijulang, bahasa Melayu ditinggal-tinggal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memelihara bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan negara ini. Tidak kiralah dalam apa bidang sekalipun, pertuturan dalam bahasa ini perlu dijaga.

Namun, menyedihkan apabila bahasa kebangsaan semakin disisihkan. Dirosakkan gara-gara penggunaan bahasa rojak, pasar mahupun bahasa asing yang semakin berleluasa sekarang ini. Tak perlu pergi jauh, lihat sahaja drama tempatan kita.

Penggunaan bahasa Melayu yang sebenar-benarnya itu semakin diabaikan. Malah dalam program hiburan sendiri, artis dilihat lebih memilih bertutur dalam bahasa Inggeris. Memang tak pandai berbahasa Melayukah?

Persoalannya, adakah itu sudah menjadi satu budaya? Atau kita masih berpeluang memperbetulkan situasi. Mari, kita ikuti pandangan selebriti tempatan berkenaan isu ini.

Wajibkan bahasa Melayu, jangan rosakkan– Zed Zaidi
Bagi pelakon dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi, dia amat memandang serius berhubung penggunaan bahasa ibunda yang kini dilihat semakin terhakis.

Menurut pelakon drama Sembilu Kasih ini, dia tidak menafikan penggunaan bahasa Inggeris juga penting, namun bahasa Malaysia haruslah diberikan keutamaan dalam pertuturan dan tidak dirojakkan.

“Kita balik semula kepada jati diri sebagai rakyat Malaysia kerana sudah mula terhakis. Apabila bercerita mengenai Malaysia, kita ada pelbagai kaum. Jadi bila bercakap mengenai perkara tersebut, memang semua hendak mempertahankan bahasa masing-masing.

“Tidak dinafikan bahasa Inggeris juga penting, tetapi kini kita perlu lebih bangga dengan bahasa kebangsaan. Sebelum ini ada seorang menteri yang mempertahankan bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda.

“Beliau juga menekankan tiada bahasa rojak dalam pertuturan. Oleh itu, bahasa Melayu adalah penting dan tidak boleh dirojakkan. Jika tidak, negara kita sendiri akan mengalami kekeliruan bahasa dan identiti,” tuturnya lagi.

Mengulas lanjut, Zed turut mempersoalkan segelintir artis yang memilih untuk bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

“Kenapa di Malaysia sendiri, kita nak banggakan bahasa luar. Tetapi kenapa tidak meletakkan bahasa Melayu sebagai nombor satu.

“Wajibkan juga setiap program perlu menggunakan bahasa Melayu.

“Kita lah yang perlu memulakan dahulu untuk memperbetul semula. Jika kita sendiri tidak mempertahankan jati diri, sampai bila-bila orang luar tidak akan tahu identiti Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut menegaskan pemain industri kreatif seharusnya memainkan peranan untuk menjulang semula penggunaan bahasa Melayu berbanding bahasa luar.

“Terutama program televisyen dan radio perlu menekankan penggunaan bahasa kebangsaan. Jika mereka tidak mulakan, siapa lagi?” katanya.

Tak boleh berbahasa Melayu, beritahu awal– Adibah Noor
Penyanyi dan pelakon terkenal, Adibah Noor berpendapat tidak adil menghukum seseorang selebriti sekiranya mereka memilih untuk bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu.

Kata pemenang tempat keempat Gegar Vaganza muzim kelapan itu, seperti juga individu biasa lain, banyak faktor yang membuatkan seorang artis itu cenderung berbahasa Inggeris.

“Kita kena selidik latar belakang mereka. Mungkin sebelum ini mereka tinggal di luar negara untuk tempoh yang cukup lama.

“Mak ayah pula bercakap bahasa Inggeris di rumah. Jadi susah untuk mereka tukar keadaan itu. Bila bercakap Melayu, jelas pelatnya,” katanya.

Pada masa sama, Adibah tidak menolak wujudnya segelintir yang bertutur dalam bahasa Inggeris namun mengabaikan tatabahasa dan sebutan yang betul.

“Ada juga yang perasan, bahasa Inggeris mereka lebih baik berbanding bahasa Melayu. Kononnya lebih selesa bertutur dalam bahasa itu. Tapi hakikatnya ke laut.

“Kalau nak berbahasa Inggeris, cakaplah dengan betul. Rajin-rajinlah membaca,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Adibah turut mengingatkan bahawa bercakap dalam bahasa Inggeris tidak menjadikan seseorang itu kurang kemelayuannya.

“Dalam situasi sekarang, tak bercakap Melayu tidak menjadikan anda kurang Melayu.

“Tetapi kalau betul-betul tak boleh berbahasa Melayu, beritahu awal. Boleh perbaiki,” jelasnya.

Tugas kita martabat bahasa sendiri – Datuk Aznil Nawawi
Sebagai seorang ikon yang disegani dalam dunia penyiaran dan pengacaraan, Datuk Aznil Nawawi melihat isu ini seakan tiada jalan penyelesaiannya sementelah sejak sekian lama juga telah dibahaskan.

Secara peribadi, dia cukup yakin penyelesaiannya bukan tertumpu cuma pada satu pihak, tetapi perlu melibatkan majoriti dengan memikul semangat dan rasa tanggungjawab yang menyeluruh.

“Sebenarnya, isu ini dari dulu lagi, tak berkesudahan, tak pernah habis, tak ada penyelesaian. Kita ada badan dan agensi yang mengawal bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Semua ada tanggungjawab dan juga peranan mereka.

“Namun kita nak memartabatkan bahasa Melayu ini semuanya bergantung kepada akhirnya pada tindakan dan kata kesungguhan,”katanya.

Malah, dia yang pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Galakan Keterampilan Berbahasa Televisyen 2007 sempena majlis anugerah Citrawangsa 2007 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) begitu yakin bahawa setiap individu di negara ini wajar mendidik diri untuk mengangkat bahasa Melayu itu sendiri.

“Berbalik kepada isu bila mana ada yang memandang rendah kalau seseorang itu menggunakan bahasa Melayu dan dianggap tak ada standard yang tinggi jika tidak pandai berbahasa Inggeris, saya cuma dapat katakan begini.

“Yang pandang rendah pada bahasa Melayu adalah kita sendiri. Nak pandang tinggi pada bahasa kita juga adalah kita sendiri. Tanggungjawab itu sudah terang-terang terletak pada kita sendiri. Kita nak yang mana? Kena ada kefahaman di situ.

“Sekali lagi saya ulang. Nak pandang rendah pada bahasa kita bukanlah orang luar. Kalau nak angkat bahasa kita juga bukanlah tugas orang luar juga,”katanya.

Persiapkan diri, tunjuk contoh yang baik – Min Yasmin

BIARPUN nama program hiburan, namun bagi penyanyi terkenal Min Yasmin bahasa pertuturan haruslah dititikberatkan.

Bagaimanapun, Min Yasmin atau nama penuhnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 33, menjelaskan, setiap orang dibesarkan dengan latar belakang keluarga yang berbeza-beza.

“Walaupun orang Melayu tetapi mungkin di rumah pertuturan mereka tidak kerap berbahasa Melayu.

“Tapi sebagai seorang yang dikenali atau ada nama sebagai artis ini, kenalah jadi contoh yang baik.

“Dalam apa pun program dan topik serta isunya. Terlebih dahulu buat persiapan dan belajar sebelum ditemu bual atau terlibat dalam program hiburan. Sekurang-kurangnya nampak bersedia,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman aktif menyanyi dan terbabit dalam program hiburan TV dan online di negara seberang, Filipina. Min mengakui dia juga adakalanya berbahasa masyarakat setempat.

“Saya mahu orang bangga dengan diri kita. Kita ini nampak bersedia dan siap.

“Kadang-kadang kita juga perlu belajar bahasa asing untuk menunjukkan kredibiliti dan kemampuan kita,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya