KOTA BHARU: Situasi banjir gelombang kedua yang melanda tiga jajahan di negeri ini iaitu Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah sejak kelmarin semakin pulih meskipun keadaan cuaca masih tidak menentu.
Aplikasi InfoBencanaJKM melaporkan, setakat pukul 12 tengah hari ini, mangsa banjir yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka berkurangan kepada 482 orang.
Air di Jeli semakin surut dengan hanya satu PPS dibuka setakat ini bagi menempatkan 179 mangsa. Sembilan lagi PPS yang masih dibuka pula kesemuanya di Kuala Krai dengan 303 mangsa.
Kerajaan negeri menerusi portal ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan dua sungai utama masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong Kuala Krai (39.64 meter) dan Sungai Kelantan di Tanggai Krai (25.18 meter).
Tiga lagi sungai berada pada tahap amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard dan Sungai Golok di Rantau Panjang manakala Sungai Golok di Tanah Merah kembali ke paras normal.
Dalam perkembangan lain, Jalan Dabong-Jeli ditutup kepada semua kenderaan bermula semalam susulan mendapan tanah dikesan berlaku di kawasan tersebut.
Jabatan Meteorologi Malaysia pula mengeluarkan amaran angin berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Kelantan sehingga Selasa.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri. – UTUSAN ONLINE