KOTA BHARU: Bah gelombang kedua yang melanda negeri ini semakin pulih apabila mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di dua jajahan berkurangan kepada 255 orang.
Menurut aplikasi InfoBencanaJKM setakat tengah hari ini, hanya tiga PPS yang masih aktif dengan Jeli merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 179 orang diikuti Kuala Krai 76 mangsa.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Kelantan di Tanah Merah dan Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras amaran.
Sementara itu, Sungai Galas di Gua Musang; Sungai Galas di Dabong; Sungai Lebir di Kuala Krai dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu berada di paras waspada.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di negeri ini sehingga Selasa.-UTUSAN ONLINE