PETALING JAYA : Tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang meremehkan mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia (PSC) Bagi Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri dilihat menghina kemuliaan Parlimen.
Kenyataan itu dibuat oleh empat anggota PSC terlibat iaitu Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.
Mereka menegaskan adalah menjadi kuasa-kuasa Parlimen untuk memanggil mana-mana saksi memberikan keterangan adalah selaras dengan Akta Majlis Parlimen(Keistimewaan dan kuasa) 1952.
“Kuasa-kuasa Parlimen untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberikan keterangan adalah selaras akta itu dan Azam adalah jelas menghina Parlimen apabila mentah-mentah meremehkan panggilan Parlimen.
“Memandangkan mesyuarat PSC Agensi Jabatan Perdana Menteri sudah dilapangkan, maka PSC seharusnya segera menetapkan tarikh baharu bagi mesyuarat PSC Agensi JPM,” kata kenyataan bersama itu hari ini.
Sehubungan itu, mereka membantah terhadap keputusan Pengerusi PSC, Abdul Latiff Abdul Rahman menunda mesyuarat bagi mendengar isu pemilikan saham Ketua Persuruhjaya SPRM, seperti ditetapkan Rabu ini.
Menurut kenyataan itu, Abdul Latiff memaklumkan bahawa Azam telah memberi respon bahawa mesyuarat tersebut melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat.
“Antara isu-isu dibangkitkan adalah bahawa beliau telah memfailkan saman sivil di bawah fitnah terhadap seorang pemberita dan oleh demikian tiada sesiapa adalah dibenarkan untuk membincangkan fakta-fakta kes atau memberikan komen terhadap perkara tersebut yang kini menjadi subjudis.
“Selain itu, beliau menyatakan bahawa pihak Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Aduan SPRM sedang menjalankan siasatan berkenaan pemilikan saham tersebut. Beliau juga mendakwa bahawa sekiranya sifat dan kelakuan beliau adalah dibincang maka ianya seharusnya dibawa melalui usul dan bukan melalui PSC,” kata kenyataan itu lagi.
Justeru, empat anggota PSC amat tidak bersetuju dengan alasan diberikan Azam dan menegaskan bahawa beliau seharusnya menghadiri mesyuarat PSC tersebut bagi membangkitkan isu-isu dibangkitkan, bukannya meremehkan surat panggilan Parlimen.
“Ini menyebabkan Setiausaha Dewan Rakyat terpaksa menangguhkan mesyuarat PSC yang ditetapkan hanya sebab perkara ini dirujuk kepada Pegawai Undang-Undang Parlimen ataupun Peguam Negara sedangkan perkara-perkara yang lain seperti terma rujukan, senarai saksi-saksi yang lain boleh dibincangkan dan ditetapkan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, bidang kuasa PSC adalah bagi menentukan sama ada terdapat mekanisme yang efektif bagi menjalankan siasatan dan tindakan disiplin bagi perkara yang berlaku apabila untuk mengenal pasti sumber-sumber kuasa yang sedia ada dan sama ada ianya mencukupi. – UTUSAN ONLINE – UTUSAN ONLINE