Azam Baki perlu cuti sementara - JKMR - Utusan Malaysia

Azam Baki perlu cuti sementara – JKMR

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mengesyorkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dicutikan sementara siasatan dibuat terhadap dakwaan beliau memiliki saham melebihi jumlah dibenarkan. 

Pengerusinya, Tan Sri Rais Yatim berkata, ia bagi membolehkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam membuat siasatan dengan lebih telus tanpa keberadaannya sebagai pengerusi badan tersebut. 

“Ini amalan apabila seseorang pegawai disiasat atas apa-apa kemungkaran atau salah laku, maka pegawai itu biasanya digantung kerja. Lantaran itu, banyak pandangan menjurus kepada fakta bahawa ia bukan satu kriminal atau perbuatan jenayah, tetapi hanya salah laku atau tidak tidak dapat menyempurnakan tugas.

“Tetapi, terbaik juga pandangan kami, beliau mengambil cuti rehat sebentar dan biarkan jawatan kuasa itu menjalankan tugas. Namun, ada juga pihak yang lebih tinggi sebelum ini disiasat tapi tidak ada cuti. Ini saya perlu sebut sebab ada dua pandangan di depan kita. Terserah kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau nak beri cuti atau tanpanya. Tetapi, harus mengambil natijah daripada apa yang sedang berlaku,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini. 

Yang hadir sama Senator Datuk Zaiedi Suhaili, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai. 

Azam Baki sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Tegasnya, beliau tidak terlibat dalam urusan pemilikan saham, malah tuduhan yang mendakwa terdapat konflik kepentingan di pihaknya juga tidak berasas.

Jelas Azam lagi, saham-saham itu dibeli melalui pasaran terbuka oleh adiknya menggunakan pembiayaannya dan saham-saham syarikat yang dibelinya oleh syarikatnya tiada kaitan dengan siasatan SPRM.

RAIS YATIM

Dalam pada itu, Rais yang juga Yang Dipertua Dewan Negara turut berpandangan, Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mempunyai usaha sama dalam membentuk sebuah suruhanjaya berkaitan antirasuah bagi mengawal permasalahan yang timbul. 

“Jadi, kami di Dewan Negara sudah ambil inisiatif tubuhkan Suruhanjaya Integriti dan Urustadbir dan Anti Rasuah. Pandangan saya, baik sekali kalau kedua-dua Dewan ini bersama dalam satu Jawatankuasa Pilihan Khas anti rasuah. Ini telah disebut sejak 1985 sejak saya menjadi Menteri Penerangan lagi.

“Ia harus dipertimbang dalam konteks penubuhan negara. Ada masalah? Dan masalah itu kita tidak harus jadi pentadbiran kepada SPRM. Kita harus jadi pengawas, yang salah, yang betul, yang ikut etika, kita jalankan. Ini kita akan terus berbincang, rakan saya, Datuk Azhar Azizan Harun ada pandangan bila dapat kita bawa itu ke Dewan Rakyat secara yang lebih tuntas,” katanya lagi. 

Rais dalam masa yang sama turut memaklumkan bahawa beliau akan bertemu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secepat mungkin untuk menyampaikan laporan berhubung seksyen 14 tentang peranan menasihati Perdana Menteri tentang hal ehwal rasuah. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya