Awas penipu guna wang palsu - Utusan Malaysia

Awas penipu guna wang palsu

NUR Ashikin Kadir menunjukkan wang palsu RM100 diterimanya daripada dua individu yang membeli makanan di gerai kuihnya di Rembau, Negeri Sembilan. -UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 58 kes diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penipuan penggunaan wang palsu di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, kebanyakan laporan yang diterima daripada pihak bank dan orang awam terdiri peniaga.

Kata beliau, kebiasaannya kes tersebut melibatkan penggunaan wang palsu dengan nilai RM100 dan RM50.

“Bulan ini sahaja polis menerima sebanyak tujuh laporan berkaitan penggunaan wang palsu ini. Sebanyak dua kes masing-masing dilaporkan di Seremban, Nilai dan Jempol manakala satu kes lagi di Rembau.

“Lazimnya kes dilaporkan oleh orang awam dan banyak juga daripada pihak bank selepas terdapat pelanggan mereka yang membuat aduan tidak dapat memasukkan wang tersebut ke dalam mesin deposit wang di bank tersebut,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, peniaga kuih di hadapan sebuah pasar raya di Rembau, Nur Ashikin Kadir, 34, berkata, dia menjadi mangsa penipuan wang palsu dalam kejadian yang berlaku di gerainya kelmarin.

“Ketika kejadian dalam pukul 2.30 petang itu, saya didatangi dua individu iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV). Mereka membeli mi rojak, kuih rojak dan tauhu bergedil yang kesemuanya berharga RM16.

“Cara mereka membeli memang saya lihat seperti tergesa-gesa dan mereka menyerahkan wang RM100. Disebabkan ada pelanggan lain saya hanya melihat sekali imbas sahaja wang tersebut dan memulangkan semula wang baki kepada suspek.

“Tidak lama selepas itu, saya menyusun wang yang diperoleh dan oleh kerana wang RM100 itu satu-satunya yang saya terima, saya memeriksanya dengan lebih teliti.

“Saya perhatikan ia tidak seperti wang biasa dan saya pergi ke pasar raya berhampiran dan memeriksa di kaunter bayaran yang mempunyai mesin UV dan selepas diteliti memang ia adalah wang palsu,” katanya.

Tambah Nur Ashikin, selepas itu dia segera membuat laporan polis dan memuat naik hantaran di sebuah kumpulan komuniti di Facebook bagi memaklumkan kejadian yang menimpanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya