Awang jinak lebih 10 ekor kerbau liar - Utusan Malaysia

Awang jinak lebih 10 ekor kerbau liar

MUHAMMAD Zulfaqar Aiman Kamarulzaman bersama sepupunya melakukan rutin memandikan Awang pada setiap petang di Kampung Dusun, Hulu Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Masih berusia dua tahun, Awang, seekor anak kerbau mempunyai kelebihan tersendiri apabila digunakan bagi memikat lebih 10 kerbau liar sejak mula berkhidmat tujuh bulan lalu.

Pemiliknya, Muhammad Zulfaqar Aiman Kamarulzaman, 18, berkata, kerbau istimewa itu tidak pernah mengecewakannya setiap kali dibawa ke tengah hutan untuk menangkap kerbau-kerbau liar termasuk di Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, kehadiran kerbau denak itu sekali gus membolehkannya meraih pendapatan antara RM300 hingga RM500 bagi setiap seekor kerbau liar yang dijinakkan.

“Ayah saya membeli Awang daripada seorang penternak di Manir, Kuala Terengganu pada harga RM3,500 dan selepas dilatih selama dua bulan, ia menjadi jinak serta manja.

“Awang juga mudah menerima arahan dan tidak pernah mengamuk, malah adik-adik sering bermain dengannya pada setiap petang,” katanya ketika ditemui di Kampung Dusun di sini semalam.

Muhammad Zulfaqar Aiman berkata, aktiviti memandikan kerbau menjadi rutin tiga adiknya iaitu Muhammad Syazrul Haikal, 14; Muhammad Zulfikar Izham, 11; dan Siti Marsyaidatul Aleesya, 10, di kawasan sungai di kampung mereka.

Menurut remaja berkenaan, kemahiran menjinak kerbau diwarisi berdasarkan pengalaman mengikut bapanya, Baharun Ismail, 51, menangkap haiwan liar itu sejak berusia 12 tahun.

Sementara itu, Baharun berkata, aktiviti menjinakkan kerbau liar amat berisiko kerana binatang itu lazimnya berada dalam kumpulan sehingga mencecah 50 ekor.

Katanya, tanpa denak, orang ramai boleh ditanduk, disondol atau dicederakan haiwan liar yang agresif itu.

“Di Terengganu, sudah tidak banyak kerbau liar bagaimanapun aktiviti ini mendapat permintaan tinggi di luar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya