ATB 2 gagalkan empat kes PATI menyusup masuk Sabah - Utusan Malaysia

ATB 2 gagalkan empat kes PATI menyusup masuk Sabah

LIMA pendatang asing tanpa izin warga Indonesia yang ditahan di Kampung Kurnia Jaya, Tawau semalam. - IHSAN ATB 2
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) mematahkan empat kes cubaan menyusup masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) sepanjang bulan ini.

Dalam kes terbaharu semalam, lima PATI warga Indonesia ditahan ketika bersembunyi dalam garaj kereta di Kampung Kurnia Jaya kira-kira pukul 4.50 pagi.

Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kesemua PATI yang berusia antara setahun hingga 27 tahun itu dipercayai baharu tiba di perairan daerah ini dengan menaiki bot.

Beliau berkata, bot dinaiki lima PATI itu dikesan memasuki perairan Malaysia bersama dua bot lain.

Walau bagaimanapun, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) mendapati bot yang membawa kesemua PATI tersebut dipercayai berpatah balik ke sempadan perairan negara selepas menurunkan kesemua PATI ke daratan manakala dua buah bot lagi gagal dikesan dan dipercayai berpatah balik menuju keluar sempadan perairan Malaysia.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati kesemua PATI warga Indonesia itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.

“Mereka terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan dewasa serta seorang bayi perempuan. Mereka ditahan bersama barang persendirian dan tiada penemuan barang-barang terlarang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Abdul Karim berkata, tangkapan itu dilaporkan kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) ATB 2 dan seterusnya dilaporkan kepada Pusat Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk mendapatkan bantuan bagi melancarkan proses tangkapan.

Berdasarkan siasatan, kesemua PATI itu memaklumkan menaiki bot yang telah diatur oleh ejen dari Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke Tawau dan seterusnya akan diambil ejen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan.

Tambah beliau, kesemua PATI itu dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) bagi menjalani proses saringan Covid-19 serta tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut beliau, kejayaan ini membuktikan ATB 2 sentiasa komited dan berada pada kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan di sempadan negara.

Jelas beliau, sempadan negara sentiasa dikawal dan ditangani secara serius dalam menghindar sebarang ancaman keselamatan demi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara, khasnya di pantai timur Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya