PETALING JAYA: Seorang warden di salah asrama harian mengakui kewujudan institusi seperti asrama harian adalah sangat membantu untuk meningkatkan potensi pelajar daripada keluarga kumpulan B40.
Menurut wanita itu yang mahu dikenali sebagai Ain, permohonan asrama sentiasa penuh apabila kira-kira 80 peratus merupakan pelajar keluarga B40 berlayakan manakala selebihnya 20 peratus bukan kumpulan itu, namun faktor kediaman sangat jauh dan menyebabkan mereka layak tinggal di asrama.
“Saya bertugas di asrama harian di kawasan bandar yang mana asrama ini menempatkan penghuni daripada dua sekolah. Alhamdulillah permohonan asrama sentiasa penuh dan 80 peratus memang pelajar daripada keluarga B40 yang layak manakala 20 peratus lagi bukan B40 tetapi faktor kediaman sangat jauh menyebabkan anak-anak ini layak tinggal di asrama.
“Alhamdulillah masih diisi oleh pelajar yang berkelayakan. B40 yang dapat tawaran ke sekolah ini sangat membantu mereka mengoptimumkan potensi diri mereka,” luahannya dalam ruangan komen Facebook hari ini.
Beliau mengulas hantaran Facebook milik pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad yang memuat naik laporan Utusan Malaysia bertajuk ‘Kembalikan fungsi asrama harian’.
Akhbar ini meminta kerajaan agar perlu mengembalikan fungsi dan peranan sekolah asrama harian untuk golongan B40 dan murid-murid yang tinggal di kawasan pedalaman agar mereka tidak tercicir daripada agenda pendidikan negara.
Sebaliknya wanita sama meluahkan bahawa keadaan asrama di tempatnya yang berusia lebih 60 tahun kini amat memerlukan penyelenggaraan segera.
Jelasnya, ekoran peruntukan sedia ada sangat terhad, permohonan mengecat blok supaya dilihat baharu pernah diajukan namun masih belum diluluskan walaupun bertahun-tahun menunggu.
Dia juga mencadangkan kerajaan untuk menyediakan sekurang-kurangnya klinik kecil di asrama harian memandangkan kekangan jumlah pelajar ramai untuk mendapatkan rawatan.
Malah dia juga meminta agar seorang doktor atau penolong pegawai perubatan agar dapat datang secara berkala bagi memberikan rawatan kepada pelajar.
“Jika ditanya kepada saya apa tambah nilai yang perlu ada, sediakan sekurangnya klinik kecil, atau MA (penolong pegawai perubatan) atau DR (doktor) yang datang secara berkala ke asrama kerana masa menunggu pelajar di hospital sangat banyak terbuang begitu sahaja sedangkan kami ada 200 anak lain yang perlu dikawal dalam kawasan asrama,” katanya.
Selain itu, individu sama menyeru agar pihak pentadbiran asrama agar tidak menyimpan pembuli kerana ia amat penting untuk mewujudkan keharmonian dalam kalangan penghuni.