PETALING JAYA: Akademi Sains Malaysia (ASM) menerusi Rangkaian Saintis Muda (YSN) terus bekerjasama dengan rakan strategiknya bagi mengukuhkan dan meningkatkan peluang dalam mencapai matlamat bersama untuk menyokong visi akademi tersebut.
Presiden ASM, Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail berkata, penubuhan YSN-ASM pada tahun 2012 sudah menjadi satu jenama dalam menyatukan komuniti saintis muda dengan visi untuk menjadi penyumbang penting kepada Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).
“YSN perlu mengambil peluang yang berharga ini untuk bekerjasama rapat dengan rangkaian pakar yang lain dan saling melengkapi supaya menjadi pengubah dan rakan strategik pilihan bagi semua inisiatif STIE,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, sempena Kolokium Virtual YSN-ASM 2021 satu acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diadakan melibatkan ASM bersama Petrosains Sdn. Bhd. dan Merck Sdn. Bhd. dalam bidang pembangunan teknologi inovatif, inisiatif strategik serta pemerkasaan saintis muda.
Memorandum berkuat kuasa selama dua tahun itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Hazami Habib bersama Pemangku Pengarah Jabatan Program Petrosains, Izhana Fitri dan Ketua Penyelesaian Penyelidikan Merck Singapura dan Malaysia, Alex Zong.
Majlis turut disaksikan oleh Dr. Asma, Pengerusi YSN-ASM, Profesor Madya Dr Chai Lay Ching dan Pengarah Jabatan Jualan dan Pemasaran Petrosains, Kamaruddin Kassim.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn. .Bhd.., Ezarisma Azni Mohamad berkata, kerjasama antara ASM dan Petrosains berjaya meningkatkan kesedaran kepada masyarakat dalam ilmu STEM.
“Menerusi MoU ini, kami berharap untuk mencapai kemajuan yang lebih besar sebagai pemangkin pembelajaran STEM serta membina generasi yang mampu mencipta penyelesaian mampan bagi masa depan yang lebih baik,” jelasnya.
Senada dengan itu Alex berkata, semangat yang dibawa oleh YSN-ASM kepada penyelidik tempatan akan membawa kepada hasil yang lumayan.
“Kami percaya melalui kerjasama awam-swasta ini, secara bersama usaha ini dapat merangsangkan penemuan saintifik dan pengetahuan untuk saintis Malaysia, seterusnya menyelesaikan permasalahan dalam bidang sains,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE