APM mohon menara tinjau baharu di Pulau Pinang 

APM mohon menara tinjau baharu di Pulau Pinang 

ISHAK Mohd. Radzi memeriksa barisan anggota APM ketika menghadiri majlis pembukaan latihan untuk tahun 2022 di pejabat APM daerah SPU di Butterworth, Pulau Pinang hari ini. - FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang sudah memohon sebuah menara tinjau baharu bagi menggantikan menara tinjau yang tumbang akibat hakisan tanah di Pantai Batu Feringghi, Jumaat lalu. 

Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA), Ishak Mohd. Radzi berkata, permohonan itu telah dihantar ke pejabat Ketua Menteri dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut. 

Katanya, ketika ini kerja-kerja membersih dan merobohkan sepenuhnya saki-baki menara tinjau yang tumbang itu telah dilakukan sejak Isnin lalu. 

“Buat masa ini kita telah diberikan satu gazebo untuk kegunaan anggota berteduh ketika membuat pemantauan dan pemerhatian di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan latihan untuk tahun 2022 di pejabat APM daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini hari ini. 

Menara setinggi 10 meter itu tumbang kira-kira pukul 3.40 pagi sebelum sebahagian daripada kawasan pesisir pantai itu terpaksa dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga. 

Difahamkan, selain menara tinjau berkenaan APM mempunyai tiga lagi menara yang sama di kawasan Batu Feringghi serta sebuah menara tinjau di Pantai Pasir Panjang, Balik Pulau. 

Mengulas lanjut katanya, kewujudan menara tinjau itu penting bagi memantau kegiatan di kawasan pesisir pantai memandangkan kawasan terbabit merupakan antara lokasi tumpuan pengunjung ketika ini. 

“Menara tinjau itu bukan milik kita sepenuhnya dan kita hanya dibenarkan beroperasi di situ. Jadi, kita tak boleh buat (menara tinjau baharu) itu sendiri,” ujar beliau. 

Dalam perkembangan lain, Ishak berpuas hati dengan peranan yang dimainkan APM Pulau Pinang dalam membantu kerajaan menangani Covid-19 untuk tempoh hampir dua tahun lalu. 

Katanya, meskipun terdapat hampir 10 pertambahan tugasan baharu terutama berkaitan Covid-19 sepanjang tempoh berkenaan, namun berjaya dilaksanakan dengan baik. 

“Sebelum ini tugasan rasmi atau hakiki kita ialah membantu dalam kes-kes kemalangan, pokok tumbang dan sebagainya, kini tugas anggota APM lebih menyeluruh. 

“Kita terlibat dalam mengawal pintu masuk sempadan termasuk sempadan antarabangsa, menjaga pusat kuarantin,menjadi ejen pembasmi Covid-19 dan sebagainya,” katanya yang memberitahu, APM Pulau Pinang juga bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan kekuatan anggota yang sedia ada. 

Ketika ini, terdapat kira-kira 1,000 anggota APM di seluruh negeri ini tidak termasuk anggota pasukan tindak balas kecemasan pertahanan awam (CDERT) dan lain-lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya