PETALING JAYA: “Apa salah kami nak bantu rakyat?”
Demikian persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai kritikan yang dilontarkan terhadapnya.
Ini susulan beliau didakwa cuba ‘berdrama’ dalam misi bantuan mangsa banjir di Johor baru-baru ini.
Malah beliau didakwa cuba memperlekehkan kerajaan negeri Johor mengenai usaha membantu mangsa banjir.
“Saya tiada niat pun nak perlekehkan kerajaan negeri. Musim banjir, musim membantu.
“Masalah timbul apabila kami disiasat polis hanya kerana sampaikan bantuan terus kepada rakyat yang susah. Apa salah kami nak bantu rakyat?” Soalnya dalam ciapan di Twitter.
Baru-baru ini, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu mendakwa, enam sukarelawan parti itu disiasat polis.
Dakwanya, ini kerana mereka telah menyampaikan bantuan banjir secara terus kepada pemohon dan tidak meletakkan bantuan itu ke tempat yang dikhususkan.
Beliau sendiri dikecam cuba ‘berdrama’ dalam melaksanakan bantuan di Johor.