DIA akui, memang bukan mudah untuk mengukir nama dalam industri memandangkan ramai lagi bakat muda yang sedang aktif menempatkan diri dalam dunia seni suara ini.
Namun begitu, Adami Hairi tidak menganggap ia sebagai halangan, malah ia dijadikan sebagai dorongan dan motivasi untuk terus memperbaiki diri.
“Tidak dinafikan pesaing-pesaing dalam industri ini memang hebat-hebat belaka. Tetapi itu tidak mematahkan semangat saya.
“Saya juga pernah terima komen daripada netizen yang mempersoalkan kebolehan untuk bersaing dengan penyanyi lain terutamanya yang sudah lama dalam industri ini. Saya sahut cabaran itu dan akan berusaha menawarkan karya-karya yang hebat,” kata anak kelahiran Melaka ini.
Bagaimanapun, dia yang berusia 30 tahun ini memberitahu, cabaran terbesarnya setakat ini adalah menguruskan masa untuk melakukan kerja hakiki sebagai penjawat awam dan penyanyi. Adami kini bertugas di Unit Kawalan Penyakit (unit vektor) di Pejabat Kesihatan Daerah Jasin.
Pada 2019, Adami telah melancarkan single sulungnya yang bergenre pop latin, Forte. Ia dicipta oleh Rosli Ahmad dan diterbitkan oleh Radical Records Studio.
“Forte mengisahkan tentang perjalanan kehidupan seseorang yang sebelum ini dipandang rendah dan sentiasa diperlekehkan.
“Namun, apabila sudah dapat membuktikan kebolehan diri, orang yang sebelum ini menjauhkan diri mula mendekatkan diri.
“Lagu ini catchy dan sesuai didengari oleh semua orang. Ia boleh didengari di semua platform digital dan juga YouTube Radical Records Studio,” katanya.
Adami berkata, walaupun lagu itu masih baharu, ia pernah berada di dalam carta radio Melaka FM untuk beberapa minggu selain pernah menjadi juara carta lagu. Melangkah ke hadapan, Adami merancang untuk mengeluarkan single baharu dengan genre yang berbeza.
Adami juga mahu menerima tawaran berlakon bagi menambah pengalamannya sebagai penggiat seni.
“Saya harap orang ramai akan sentiasa menyokong dan mengikuti perjalanan saya dalam industri ini,” katanya.