ALOR GAJAH: Seekor anjing yang diikat pada tiang rumah hampir lemas ditenggelami air banjir paras satu meter berjaya diselamatkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka dalam kejadian di Kampung Pengkalan di sini, malam tadi.
Menurut anggota APM daerah Alor Gajah, Meor Riduwan Meor Ahmad, anjing tersebut dipercayai telah terendam dalam bah selama dua jam.
Katanya, salah seorang penduduk mendakwa, haiwan malang itu ditinggalkan pemiliknya akibat panik dan bergegas keluar menyelamatkan diri selepas kediamannya dinaiki air.
“Ketika menjalankan pemeriksaan kira-kira pukul 8 malam, kita menyedari terdapat seekor anjing terikat di tiang sebuah kediaman dan dipercayai haiwan peliharaan itu telah terendam selama dua jam.
“Pasukan APM telah menyelamatkannya dan menyerahkan kepada salah seorang penduduk yang merupakan jiran kepada pemiliknya,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, haiwan tersebut tidak bertindak agresif, sebalikya menggigil teruk akibat kesejukkan ketika diselamatkan. – UTUSAN