Ancaman babi hutan 'menjadi-jadi' - Utusan Malaysia

Ancaman babi hutan ‘menjadi-jadi’

SEEKOR babi hutan yang berkeliaran di Taman Tunku Sarina Azzalea, Jitra, Kubang Pasu, Kedah. - UTUSAN/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Lebih 500 penduduk di Taman Tunku Sarina Azzalea di sini melahirkan kebimbangan apabila kerap terserempak dengan sekumpulan babi hutan di kawasan perumahan tersebut sejak tahun lalu.

Penduduk mendakwa lebih lima ekor haiwan itu dilihat berkeliaran berhampiran rumah penduduk pada waktu siang sejak kebelakangan ini berbanding sebelah malam atau subuh sebelum ini.

Seorang penduduk, Mohd. Syaufi Yaacob, 40, berkata, dia pernah melihat kumpulan babi itu berada di hadapan rumahnya beberapa kali.

“Risau juga saya nak buka pintu pagar kerana haiwan itu pernah berkeliaran betul-betul di hadapan rumah.

“Kumpulan babi ini mungkin datang dari habitatnya dari hutan di kawasan bukit yang terletak berhadapan rumah saya,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, selain bilangan haiwan itu yang bertambah, dia juga risau apabila yang masuk ke kawasan perumahan kini bersaiz besar dan bertanduk.

Seorang penduduk, Ridwan Arma Baharom, 43, berkata, rata-rata penghuni bimbang dengan keselamatan anak mereka yang sering bermain di luar pada waktu petang.

“Bimbang juga jika tiba-tiba haiwan tersebut mengamuk dan menyerang kanak-kanak sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mereka.

“Baru-baru ini saya ternampak seekor babi menyeberangi jalan dan masuk ke taman perumahan bersebelahan sebelum memunggah tong sampah untuk mencari sisa makanan selain turut makan pokok ditanam penduduk,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zulfami Shariff, 34, berkata, mereka tidak tahu pihak mana perlu diajukan masalah itu, namun Jabatan Perhilitan pernah memaklumkan pihak tersebut boleh meletakkan sangkar berdekatan habitat haiwan itu.

“Walau bagaimanapun penduduk perlu memastikan sangkar itu tidak dicuri, jika tidak mereka perlu membayar ganti rugi.

“Ia didapati agak sukar kerana kawasan bukit dan hutan berkenaan dipercayai menjadi sarang penagih yang mungkin mencuri sangkar tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, penduduk memohon pihak berkaitan supaya dapat menangkap haiwan berkenaan bagi menjamin keselamatan penduduk di situ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya