PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Amyra Rosli yang terpaksa dimasukkan ke pusat perubatan berhubung mengalami jangkitan kuman dalam darah sebelum ini, sudah dibenarkan pulang ke rumah, semalam.
Perkara tersebut dimaklumkan pelakon drama popular Nur menerusi entri Instagram (IG) miliknya.
“Myra sudah keluar dari wad. Alhamdulillah, semoga doa-doa kalian yang baik buat Myra berbalik juga kepada kalian. Amin,” coretnya ringkas dalam ruangan kapsyen.
Menjengah di ruangan komen, peminat menzahirkan rasa syukur dan mendoakan agar pelakon itu sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dilindungi Allah.
“Syukur Alhamdulillah, semoga dilimpahi kesihatan, keberkatan kasih sayang, rahmat serta sentiasa dilindungi Allah,” komennya.
Dalam pada itu, beberapa pengguna lain turut menitipkan doa yang baik-baik buat ibu kepada dua cahaya mata itu.
“Syukur Alhamdulillah, Myra sudah kembali sihat seperti sedia kala. Semoga sentiasa diberikan kesihatan yang berpanjangan. Amin,” tulis linaazlina64 dalam ruangan komen.
“Alhamdulillah kak Myra. Semoga sentiasa sihat selalu ya,” komen peminatnya yang lain.
Beberapa hari lepas, Amyra terpaksa dimasukkan ke wad selepas mengalami demam panas akibat jangkitan kuman dalam darah.
Sekadar informasi, Amyra dan suaminya yang juga pelakon, Amar Baharin selamat mendirikan rumah tangga pada November 2016 dan dikurniakan sepasang cahaya mata.