JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan mengemukakan sekurang-kurangnya enam calon muda untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, nama enam calon tersebut telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbang bertanding pada pilihan raya itu.
“Kita cadangkan 30 peratus daripada calon yang akan bertanding dalam PRN Johor adalah calon muda. Kerusi yang mereka akan tandingi melibatkan kawasan campuran termasuk di luar bandar.
“Ada di Johor Bahru dan sebagainya. Kita mahukan keseimbangan (dalam pembahagian kerusi) supaya apabila (calon muda) menang mereka dapat diberikan peranan sewajarnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat AMK peringkat negeri hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, calon muda AMK akan memberi tumpuan dan membawa isu-isu golongan itu walaupun mengetahui anak muda tidak meminta atau mahukan PRN tersebut diadakan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pandangan golongan berkenaan mahukan lebih ramai anak muda diberikan peluang selain mahukan kepimpinan lebih baharu dan ‘segar’ mengambil amanah serta tanggungjawab sebagai pemimpin.
Sementara itu, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharap dapat memikirkan langkah terbaik memastikan kira-kira 200,000 rakyat Johor di Singapura serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dapat pulang untuk mengundi.
Menurut Akmal Nasrullah, pihaknya bimbang golongan tersebut tidak dapat pulang bagi melunaskan hak mereka dalam proses demokrasi tersebut dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Katanya, AMK berpandangan proses demokrasi itu perlu dijalankan dengan adil dan sebaik mungkin apabila rakyat tidak dihalang untuk pulang mengundi seolah-olah mahu menafikan mandat kumpulan berkenaan.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah mencadangkan supaya inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat khas dibuka bagi membolehkan mereka pulang untuk mengundi dari Singapura.