Ambil peluang laksanakan ibadah wakaf selagi hayat ada

Ambil peluang laksanakan ibadah wakaf selagi hayat ada – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan berangkat menyempurnakan majlis persembahan kutipan wakaf tunai Masjid Masjid At-Taqwa Kampung Alor Redis dengan kerjasama MAIPs dan Pertubuhan Suara Sunnah Malaysia di Kangar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh umat Islam mengambil peluang bagi melaksanakan ibadah wakaf selagi hayat ada.

Titah baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), selagi hayat dikandung badan, ibadah berwakaf harus diusahakan sebagai pelaburan akhirat yang berpanjangan dan berkekalan selain memberikan manfaat kepada ummah.

“Ambillah peluang melaksanakan ibadah wakaf dan ia juga memberi manfaat kepada ummah,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan majlis persembahan kutipan wakaf tunai Masjid At-Taqwa Kampung Alor Redis dengan kerjasama MAIPs dan Pertubuhan Suara Sunnah Malaysia di sini hari ini.

Sumbangan kutipan wakaf tunai menggunakan platform Toyyib-Pay menerusi dalam talian berjumlah RM45,032 itu dipersembahkan oleh Pengerusi Pertubuhan Suara Sunnah Malaysia, Syed Abu Bakar Syed Kamal Bahrin Jamalullail.

Masjid At-Taqwa yang sebelum ini menerima musibah kebakaran berjaya mengumpulkan dana wakaf hampir RM1.8 juta yang akan digunakan untuk pelan baikpulih dan naik taraf masjid bagi jangka masa panjang selain turut menerima peruntukan baikpulih daripada pihak Kerajaan negeri dan Persekutuan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor menyeru umat Islam mengambil langkah bijak dan berstrategi untuk melaksanakan ibadah wakaf yang mempunyai pahala berpanjangan.

“Sebagai umat contoh, kita perlu melaksanakan ajaran agama yang sentiasa mengajar kita untuk berkorban dengan berkongsi rezeki demi memberikan manfaat kepada umat. 

“Kerana itu banyak daripada ayat al-Quran yang menggandingkan pengorbanan harta dan jiwa untuk berjihad mempertahankan agama,” katanya.

Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan melalui amilnya, Shuib Bahari dengan masing-masing menerima RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh bernilai RM21,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya