PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan sehingga pukul 7 malam ini.
Ini meliputi Bandar Baharu, Kedah; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim); Pahang (Tanah Tinggi Cameron dan Bentong); Selangor (Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang) selain Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Jempol).
Menurut jabatan itu, amaran sama dijangka di Negeri Sembilan (Port Dickson); Johor (Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru); Sabah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat (Ranau) sehingga pukul 6 petang ini.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.