PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di tujuh negeri sehingga pukul 8 malam ini.
Menurut Met Malaysia, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa tempat di Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Sarawak dan Sabah.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah (Kulim dan Bandar Baharu); Perak (Larut, Matang Dan Selama, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron).
“Selain itu, Selangor (Hulu Selangor); Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau); Melaka; Sarawak: Kapit (Belaga) dan Limbang serta Sabah: Sandakan (Sandakan) dan Kudat (Pitas) sehingga 8.00 malam; Sabtu, 29 Januari 2022,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah Met Malaysia, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya. – UTUSAN