PETALING JAYA: Syarikat konsesi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), ANIH Berhad menjangkakan jumlah aliran trafik yang tinggi sempena sambutan Tahun Baru Cina ini.
Oleh itu, mereka yang mahu melakukan perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan disarankan melakukan perjalanan yang dicadangkan dari laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia atau ANIH Berhad.
Pengurus Besar Kanannya, Radzimah Mohd. Radzi berkata, pihak syarikat menjangka jumlah trafik yang agak tinggi memandangkan sambutan ini merupakan kali pertama sejak dua tahun lalu masyarakat Cina dibenarkan merentas negeri bagi menyambut perayaan tersebut bersama keluarga tercinta.
Katanya, ANIH Berhad juga sudah mengagihkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan bersama 1,400 penutup muka sejak 25 Januari lalu di plaza tol sepanjang KLK dan LPT1 bagi memberikan maklumat awal kepada para pengguna.
“Kami juga telah meningkatkan kekerapan jadual sanitasi dan pembersihan di semua kemudahan awan di hentian rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.
“Kami juga memastikan kepatuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) pergerakkan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi menyokong usaha mengurangi penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam kenyataan sama, ANIH Berhad memaklumkan, semua pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan optimum dan mempunyai baki kad Touch N’ Go yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pusat tambah nilai.
Selain itu, jelas ANIH Berhad, para pengguna juga diingatkan untuk memandu dengan berhati-hati, menjaga jarak selamat kenderaan di lebuhraya dan berhenti untuk rehat sekiranya perlu di mana-mana R&R dan hentian sebelah di sepanjang perjalanan mereka.
“Bagi mereka yang bakal melakukan perjalanan menggunakan KLK dan LPT1, maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini tentang keadaan trafik boleh diperolehi dari laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia atau ANIH Berhad di Twitter atau hubungi hotline LLM di 1800- 88-7752 dan LPT – Line di 09 5479111/1-700-818-700.
“Pengguna LPT2 boleh mendapat maklumat trafik melalui Twitter @LPT2Trafik, papan tanda elektronik di sepanjang lebuh raya atau menghubungi LPT2Line di talian 1800 88 0220,” jelas kenyataan itu.