KUALA LUMPUR: Seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat penyediaan perkhidmatan kandungan komunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas 26 pertuduhan memberi rasuah hampir RM85,000 kepada kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi sebagai upah kerana memberi maklumat pelanggan kepada syarikatnya, lapan tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh Lim Eng Hoong, 46, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-26, Eng Hong didakwa secara rasuah memberikan suapan berjumlah RM85,000 kepada seorang lelaki yang juga kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi melalui akaun bank atas nama seorang wanita.
Wang rasuah itu bernilai antara RM800 dan RM4,000 diberikan dalam tempoh-tempoh berlainan.
Ia sebagai upah kepada lelaki itu kerana memberikan maklumat aduan pelanggan kepada syarikat milik tertuduh yang mana ia daripada portal sistem perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi tersebut.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di HSBC Amanah Cawangan Wangsa Maju di sini antara 3 Disember 2014 dan 1 September 2016.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asri Abdul Rahman Sidik mencadangkan jaminan sebanyak RM40,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun peguam Emily Shir Lay yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jaminan dengan alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
“Tertuduh mempunyai tiga orang anak, sejak pandemik dua tahun lalu syarikat miliknya yang menjalankan pameran tidak dapat menjana pendapatan sehingga tertuduh terpaksa menjual dua buah keretanya,” kata peguam itu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan Eng Hoong diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan syarat-syarat seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan. Tarikh 23 Februari ini ditetapkan sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE