PETALING JAYA: Tindakan keluar parti oleh dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor (exco) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor dianggap sebagai tindakan yang sia-sia.
Ketua Bersatu Bahagian Labis, Ahmad Humaizi Uzir berkata, keputusan mereka sebenarnya tidak meninggalkan sebarang kesan terhadap Bersatu sama ada di peringkat negeri mahupun bahagian serta keseluruhan penyokong dan pendukung Parti Perikatan Nasional (PN) malah kepada pengundi di Johor.
Malah, katanya, tindakan mereka juga memalukan diri serta penyokong mereka.
“Tindakan mereka untuk keluar dari parti selepas pembubaran DUN Johor juga dilihat seperti bersifat politik dendam dan penakut, berkemungkinan sudah mengetahui diri tidak dicalonkan atas kegagalan menunjukkan prestasi yang bagus sebagai ADUN dan exco kerajaan Johor.
“Sebagai ahli parti, saya menzahirkan rasa simpati terhadap nasib penyokong dan pendukung kedua-dua bekas ADUN dan exco kerajaan Johor ini.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mencabar mereka bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya yakin pengundi akan mengundi mereka semula,” katanya.
Pada 27 Januari lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang umum keluar parti Bersatu berkuat kuasa serta-merta dan menyokong Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohamad untuk memimpin semula negeri Johor bagi mewujudkan kestabilan politik.
Tindakan Mazlan itu disusuli bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad yang mengumumkan bahawa beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Bersatu berkuat kuasa serta-merta dalam sidang akhbar semalam.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor itu berkata, keputusan itu dibuat setelah menyifatkan Bersatu hilang hala tuju dan gagal meneruskan perjuangan agenda penubuhan parti tersebut.-UTUSAN ONLINE