PETALING JAYA: Sesiapa sahaja boleh bercakap dan memberi pandangan namun hanya pemain serta pasukan sahaja mengetahui segalanya apa yang berlaku dalam setiap pertandingan yang diharungi.
Perkara itu dilontarkan penyerang Terengganu FC II Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar ketika ditemui media sewaktu menjalani sesi latihan pusat kem negara sebagai persiapan menghadapi Kejuaraan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Bawah 23 tahun (B-23) di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Feb ini.
“Tak semua orang faham bola sepak, di dalam dan luar padang lain. Mereka boleh cakap macam-macam tetapi di padang, hanya pemain sahaja tahu macam mana tekanannya.
“Saya harap semua terus menyokong pasukan negara. Kami pemain mengharapkan penyokong sentiasa bagi semangat,” katanya.
Biarpun sudah hampir sebulan kempen Piala AFF 2020 di Singapura berlalu namun kegagalan skuad Harimau Malaya di pertandingan itu terus hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak.
Tentu sekali tekanan kini dirasai skuad ‘adik’ yang diletakkan harapan dapat menembus maruah ‘abang’ oleh rata-rata penyokong negara.
Azfar turut mengakui sebagai pemain yang menyarung jersi pasukan negara, dia sedikit terkesan dengan segala reaksi negatif dan kecaman melampau dilemparkan terhadap skuad Harimau Malaya di media sosial.
Namun, pemain berusia 22 tahun itu tetap menghormati hak penyokong untuk memberikan pandangan sambil menegaskan jika skuad kebangsaan tidak ingin dikecam, mereka perlu menghasilkan keputusan yang memberangsangkan.
“Berdasarkan apa yang saya nampak, saya ambil yang positif saja. Biarlah mereka (penyokong) nak kecam apa pun, tugas kita senang, hanya satu iaitu balas dengan kemenangan. Kalau kita bagi kemenangan dan muncul juara, tiada lagi kecaman,” ujarnya.
Turut senada dengannya adalah penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Muhamad Alif Abdul Mutalib, berkata segala bentuk kritikan keterlaluan tidak memberi faedah kepada pemain dan pasukan.
“Saya melihat dari sudut positif. Bagi kami hanya buat yang terbaik di padang, selebihnya apa penyokong nak cakap terpulang kepada mereka,” jelasnya.