800 kekosongan pekerja tempatan di ladang milik TDM di Terengganu

800 kekosongan pekerja tempatan di ladang milik TDM di Terengganu

TDM menawarkan 800 kekosongan buat pekerja tempatan di kesemua 13 ladang miliknya di Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad menawarkan 800 kekosongan buat pekerja tempatan di kesemua 13 ladang miliknya di Terengganu.

Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif itu selaras komitmen untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 sekali gus dapat meningkatkan kemahiran golongan sasar.

Katanya, langkah itu dalam masa sama dapat mengurangkan kebergantungan syarikat kepada tenaga asing.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, TDM menerusi bahagian perladangan syarikat, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) giat menjalankan usaha merekrut penduduk tempatan, terutama di kawasan syarikat berada dan beroperasi.

“Usaha ini diperhebatkan sejak pandemik Covid-19 melanda bagi membantu mereka yang terjejas sekali gus mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja berikutan penutupan sempadan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Najman, TDMP sering berdepan cabaran untuk menarik minat warga tempatan terutama penglibatan generasi muda dalam pekerjaan yang sukar, bahaya dan kotor.

Katanya, sehingga kini, bahagian perladangan itu berjaya merekrut seramai 1,422 pekerja tempatan yang terdiri daripada operator mesin separa mahir, penuai buah kelapa sawit dan pekerja am di 13 ladang syarikat di Terengganu.

Malah, menurutnya TDMP juga telah menyemak semula pelan imbuhan pekerja dan mempelbagaikan tawaran bagi menarik di samping mengekalkan pekerja tempatan.

“Selain latihan, penginapan dan kesihatan, pihak syarikat turut memberikan pakej gaji yang kompetitif, bayaran insentif, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), cuti tahunan, elaun dan kemudahan pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah di samping pelbagai manfaat lain kepada pekerja ladang.

“Melalui pelan imbuhan baharu dan setelah mencapai produktiviti yang ditetapkan, ada di kalangan penuai buah kelapa sawit berjaya membawa pulang gaji yang lumayan antara RM3,000 hingga RM4,000 walaupun hanya beberapa bulan bekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya