743 pelajar di Negeri Sembilan dijangkiti Covid-19 - Utusan Malaysia

743 pelajar di Negeri Sembilan dijangkiti Covid-19

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Covid-19 di Wisma Negeri, Seremban hari ini. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 743 pelajar sekolah dan institusi pendidikan di Negeri Sembilan dijangkiti Covid-19 daripada 11 kluster yang direkodkan setakat semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada kesemua 11 kluster pendidikan yang masih aktif itu, lapan daripadanya adalah institusi pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

“Di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan terdapat lapan kluster manakala tiga lagi institusi pendidikan swasta. Sebahagian besar (pelajar dijangkiti) merupakan pelajar di asrama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Covid-19 di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Aminuddin memberitahu, ahli jawatan kuasa telah dimaklumkan tentang keputusan Kementerian Pendidikan supaya pelajar tingkatan lima di asrama tidak digalakkan pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina.

“Saya sarankan supaya ibu bapa memberi kerjasama, anak-anak kita akan hadapi peperiksaan, penting buat mereka hadapi peperiksaan yang besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar memaklumkan, sebagai persediaan menghadapi gelombang penularan jangkitan Covid-19 di negeri ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akan menyediakan Rumah Peranginan Kerajaan Negeri di Port Dickson sebagai lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC). – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN